PKR Sengaja Mahu Lihat Bumiputera/Islam Berpecah

SANDAKAN 29 Okt. – “Jangan biarkan undi Bumiputera Islam berpecah di antara Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana ia akan menguntungkan Parti Maju Sabah (SAPP) yang menahan lukah di pergentingan,” kata Penyelaras Daerah Mengundi Segaliud, Datuk Saddi Abdul Rahman.

Saddi berkata, PKR menyertai pilihan raya berkenaan dengan matlamat memecah undi Bumiputera Islam antara parti itu dengan BN berikutan langkah PKR meletakkan calon Melayu, Ansari Abdullah, sekali gus memberi kelebihan kepada SAPP.

“Mungkin mereka sudah berpakat untuk memecah undi Melayu. Apabila berpecah, SAPP akan dapat kelebihan. Kita tidak boleh biarkan ia berlaku. Kita mesti pastikan Melayu beri undi kepada kita. Janganlah kita rugi kerana kehilangan undi mereka,” katanya.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Datuk Ghapur Salleh yang turut ditugaskan menyelaras jentera pilihan raya di kawasan itu.

Daripada keseluruhan jumlah pengundi 15,099 (59.02 peratus) adalah Bumiputera Islam manakala 9,737 (38.06 peratus) Cina, 689 (2.69 peratus) Bumiputera bukan Islam dan 57 (0.22 peratus) kaum lain.

Kampung Sukau ada 785 pengundi dengan majoriti mereka adalah Bumiputera Islam. Seramai kira-kira 200 pengundi tinggal di kampung berkenaan, manakala baki 500 lebih tinggal di luar kampung itu.

SAPP meletakkan Presidennya, Datuk Yong Teck Lee sebagai calon, dipercayai bertujuan meraih undi di kawasan bandar, selain beliau sendiri yang dikatakan sudah bertemu dengan pengundi Melayu di luar bandar.

Saddi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau ketika ditemui selepas menyusun jentera pilihan raya di kawasan itu semalam, berkata, BN mengesyaki PKR sengaja meletakkan calon Bumiputera Islam untuk memecahkan undi Melayu itu.

“BN sentiasa berhati-hati dengan taktik pembangkang. Ini adalah satu daripada pelbagai taktik mereka yang kita harus pandang serius,” katanya.

Beliau juga berkata, jentera BN di kampung berkenaan sudah menyusun strategi untuk membawa pulang pengundi di itu yang tinggal di bandar dan dari daerah lain.

Untuk tujuan itu, katanya, jentera BN sudah mengenal pasti mereka dan akan memastikan tiada seorang pun yang tertinggal daripada dibawa pulang.

Lagi Berita