Undi Wanita Penentu Kemenangan Di Batu Sapi

SANDAKAN, 29 Okt – Kepentingan undi kaum wanita menjelangnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi penting untuk menentukan kemenangan Barisan Nasional (BN), kata Ketua Pergerakan Wanita Umno Sabah, Senator Datuk Armani Mahiruddin.

“Jumlah pengundi wanita mungkin mencecah hampir separuh daripada 25,582 pengundi berdaftar dan oleh itu BN akan berusaha habis-habisan memancing undi pemilih wanita,” katanya.

Beliau berkata sudah tiba masanya calon wanita yang berkemampuan diberi peranansebagai pemimpin dan pentadbir tanpa wujud sebarang diskriminasi.

Bagi PRK di sini, BN meletakkan Datin Linda Tsen Thau Lin untuk mempertahankan kawasan Batu Sapi dengan ditentang dua calon lelaki dari Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Saya optimis calon BN akan mendapat sokongan rakyat atas tiga memontum iaitu harapan suara wanita Sabah sampai ke peringkat Parlimen, di samping Linda adalah anak jati Sandakan dan reputasi BN yang cukup baik yang telah membawa pelbagai macam pembangunan untuk rakyat,” kata Armani.

Beliau berkata keputusan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman meletakkan balu Datuk Edmund Chong Ket Wah, iaitu Ahli Parlimen Batu Sapi yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, adalah tepat yang wajar disokong oleh semua pihak.

“Pemilihan ini begitu signifikan buat golongan wanita dalam parti mahupun seluruh wanita di negeri ini. Ini bermakna harapan kita sandarkan sepenuhnya kepada beliau (Linda Tsen),” katanya.

Armani berkata wanita BN memandang tinggi keterbukaan calon BN memikul tugas sebagai calon dan bakal menggalas tanggungjawab sebagai seorang Anggota Parlimen.

Lagi Berita