USBO Ajak Masyarakat Bajau Sokong BN

SANDAKAN, 29 Okt – Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (USBO) mengajak masyarakat Bajau di kawasan Parlimen Batu Sapi supaya memilih calon
Barisan Nasional (BN) Datin Linda Tsen pada pilihan raya kecil kawasan itu pada 4 Nov ini.

Penolong Setiausaha Agungnya, Jemil Sidah, berkata masyarakat itu wajar memberi sokongan kepada BN demi kelangsungan pembangunan yang dirancang oleh kerajaan.

“Masa depan dan survival masyarakat Bajau terletak di tangan BN…oleh itu kita perlu memberi sokongan padu kepada calon BN,” katanya dalam perjumpaan dengan masyarakat itu di Kampung Sundang, di sini, hari ini.

USBO merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang diterajui oleh bekas Ketua Menteri Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak.

Beliau kini merupakan Penasihat Sains dan Teknologi Kepada Ketua Menteri Sabah dan juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian suami Linda, Datuk Edmund Chong Ket Wah dalam nahas jalan raya pada 9 Okt lalu di Kota Kinabalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Edmund Chong dari Parti Bersatu Sabah (PBS)menewaskan calon Bebas Dr Chung Kong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Batu Sapi mempunyai 25,582 pengundi termasuk 1,535 pengundi pos.

Pilihan raya kecil itu akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Linda, Datuk Yong Teck Lee dari Parti Maju Sabah (SAPP) dan Ansari Abdullah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Lagi Berita