“Gencatan Senjata” 90 Minit Malam Ini – Razali

Gua Musang, 30 Okt – Bahang  kemeriahan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Negeri Sembilan turut dirasai pada pilihan Raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Keghairan penyokong  “Red Warrior” turut dikongsi Timbalan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Razali Ibrahim dan calon BN, Abdul Aziz Yusoff yang turut bersama penyokong berkenaan pagi tadi.

Seramai 700 penyokong berkenaan yang diuruskan oleh Pemuda UMNO Gua Musang  dengan kerjasama UMNO bahagian diketuai Ketua Pemudanya, Bazlan Baharuddin  menaiki  17 buah bas berkonvoi ke Bukit Jalil untuk menyaksikan perlawanan berkenaan malam ini.

Datuk Razali Ibrahim pada sidang medianya mencadangkan “gencatan senjata” selama 90 minit pada kempen pilihan raya kecil berkenaan bagi memberi laluan kepada perlawanan akhir  Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dengan Kelantan, malam ini.

Beliau berkata, jentera kempen parti yang bertanding perlu bertenang  seketika dan memberi sokongan kepada pasukan yang bertanding.

“Malam ini perlu ada “gencatan senjata” untuk tengok perlawanan akhir, lepas itu kita sambung kembali berkempen.

“Saya sendiri akan menyaksikan perlawanan bersama para belia dan pengundi di kawasan ini malam ini,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan  17 bas yang membawa lebih 700 penyokong bola sepak Kelantan ke Stadium Bukit Jalil di sini, hari ini.

Razali yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO meminta para penyokong  agar tidak mempamerkan kain rentang atau bendera parti politik pada perlawanan akhir itu.

“Elemen politik tidak sepatutnya dicampur aduk dengan sukan.  Amat menyedihkan kalau dimasuki elemen politik dalam perlawanan akhir ini, yang lebih penting penyokong memberikan sokongan kepada pasukan negeri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Gua Musang, Bazlan Baharuddin meminta para penyokong agar tidak mengabaikan keselamatan dan menjaga disiplin ketika menyaksikan pertandingan itu.

“Patuhi peraturan yang ditetapkan dan jaga kelakuan kita agar kita dapat melihat perlawanan berkenaan dalam suasana yang aman dan tenteram,” katanya.

Dalam pada itu, calon BN,  Abdul Aziz ketika ditemui meramalkan kemenangan 2-0 pasukan Red Warrior ke atas Negeri Sembilan.

“Saya juga  akan bersama-sama penyokong di sekitar DUN Galas bagi menyaksikan perlawanan berkenaan. Malahan bagi mereka yang tidak berpeluang ke Kuala Lumpur, peminat di Galas boleh menyaksikan perlawanan itu di skrin besar yang disediakan BN di dataran Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) 8.30 malam ini,” katanya.

Lagi Berita