Jentera BN Di Landasan Terbaik Pertahan Batu Sapi – Tengku Adnan

SANDAKAN 29 Okt. – Jentera kempen Barisan Nasional (BN) yang diketuai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Musa Aman berada pada landasan terbaik bagi memastikan kerusi Parlimen Batu Sapi kekal milik BN.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, semua parti komponen juga diyakini akan meningkatkan kempen mereka menjelang hari pengundian 4 November ini.

Katanya, secara keseluruhannya beliau juga berpuas hati dengan persiapan dilakukan parti komponen berdasarkan pemerhatiannya sejak semalam di beberapa peti undi.

“Bagi UMNO, kita memang tengah tumpukan kawasan bumiputera Islam dan oleh itu pemimpin parti terutama Ahli Majlis Tertinggi telah diminta turun ke kawasan ini.

“Kita juga tidak lupa kepada kawasan Cina yang kita yakin semua kaum sedar konsep 1Malaysia yang diamalkan kerajaan dapat membawa keamanan dan kemakmuran kepada negara,” katanya ketika berkempen di Kampung Cenderamata, Batu Sapi dekat sini hari ini.

Mengenai jentera parti komponen yang dilihat agak perlahan berbanding UMNO, Tengku Adnan berkata, perkara itu berlaku sewaktu awal kempen.

Katanya, situasi itu bukan sahaja di Batu Sapi, tetapi di kawasan lain tambahan pula jentera UMNO biasanya lebih ke hadapan sebaik sahaja bermula hari pertama kempen.

“Namun saya yakin semua parti komponen akan meningkatkan gerak kerja mereka menjelang hari pengundian 4 November ini,” katanya.

Sementara itu, Tengku Adnan yakin kerajaan akan memenuhi keperluan pembangunan penduduk Batu Sapi jika calon BN menang pada pilihan raya kecil ini berdasarkan prinsip rakyat didahulukan.

“Ini seperti keperluan infrastruktur di beberapa kampung dan saya akan maklumkan kepada pucuk pimpinan baik di peringkat negeri dan Pusat,” ujarnya.

Lagi Berita