Pas Guna Isu Lapuk Raih Undi Warga Emas

GUA MUSANG 30 Okt – Pas menggunakan isu lapuk mereka dengan menjadikan agama sebagai modal kempen terutama di kawasan yang didapati mempunyai ramai pengundi warga emas.

Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Hamidah Osman berkata tindakan yang dilakukan oleh Pas itu membuktikan mereka sebenarnya sudah kekeringan isu dalam usaha untuk mendapatkan sokongan daripada penduduk di Galas.

“Mereka menggunakan petugas wanita untuk berkunjung dari rumah ke rumah, sasaran mereka adalah rumah yang didiami warga tua, biasanya mereka datang bila mengetahui warga emas itu tinggal bersendirian ketika penghuni lain keluar.

“Mereka lakukan itu bagi memudahkan mereka untuk mempengaruhi warga emas kerana kalau penghuni lain ada di rumah, susah pula mereka nak jual temberang takut nanti ditegur penghuni lain,” katanya ketika ditemui dalam Program Salam Sayang Wanita UMNO di Kampung Sungai Tereh, di sini.

Program Salam Sayang Wanita UMNO adalah program bertemu secara bersemuka dengan pengundi, melalui program itu petugas-petugas Salam Sayang akan memberi penerangan atau menjawab segala tohmahan yang dilemparkan pihak pembangkang.

Hamidah berkata, ketika bertemu warga emas itu mereka masih menggunakan isu jika mengundi Pas akan masuk syurga dan UMNO sebagai parti kafir kerana berkomplot dengan bukan Islam.

“Inilah sikap orang Pas, bila jumpa orang muda mereka mengatakan kerjasama dengan bukan Islam seperti Dap tidak salah tetapi bila jumpa warga tua mereka cerita benda lain, ini membuktikan Pas ini memang bermuka-muka.

“Pas melakukan begitu kerana menganggap warga tua tidak mengikuti perkembangan politik tanah air, mereka yakin warga tua ini tidak mengetahui mengenai hubungan baik Pas dengan DAP,” katanya.

Menurutnya, untuk menangkis segala tohmahan itu, petugas Wanita UMNO ditugaskan untuk berkunjung ke setiap rumah kawasan yang ditetapkan di seluruh Galas bagi memberi penerangan sebenar apa yang berlaku.

“Peti undi Sungai Tereh menjadi tumpuan Pas di Galas kerana kawasan ini adalah kubu kuat mereka dan ramai warga emas yang mendiami kawasan ini, sebab itu kita lihat ramai petugas Pas berada di sini,” katanya.

Beliau yakin dengan apa yang dilakukan oleh petugas-petugas BN terutama di kalangan Wanita UMNO dapat membantu calon BN, Abdul Aziz Yusoff untuk memenangi pilihan raya kecil DUN Galas pada 4 November ini. -MediaUMNO

Lagi Berita