Shahrizat Ajak Pengundi Terus Sokong BN

SANDAKAN, 30 Okt. – Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyeru rakyat khususnya para pengundi di Batu Sapi untuk terus memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

Katanya, dengan pencalonan Datin Linda Tsen Thau Lin sebagai calon BN yang akan mempertahankan kawasan parlimen tersebut maka bermakna satu lagi penghargaan diberikan oleh BN kepada wanita di Sabah.

“Tokoh-tokoh dari Sabah memang ramai dan tidak kurang hebatnya memperjuangkan kemajuan dan kebajikan masyarakat di sini,” katanya dalam Program Temu-temu Mesra di Kampung Baru Karamunting, di sini.

Katanya, dengan pelantikan Linda sebagai calon maka satu lagi pengiktirafan diberikan yang membuktikan bahawa kemampuan wanita tidak pernah dinafikan oleh Kerajaan.

“Kerajaan mengiktiraf kebolehan wanita sebagai ketua dan pemimpin malahan kekuatan Linda Tsen ini adalah satu semangat untuk kita sama-sama memberi sokongan kepada beliau dalam hasrat menyambung usaha yang telah dilakukan oleh mendiang suaminya,” katanya.

Dalam majlis tersebut, Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menyampaikan salam takziahnya mewakili semua golongan wanita di Malaysia kepada Linda atas kehilangan insan tersayang.

Mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah yang menjawat ahli Parlimen Batu Sapi maut dalam nahas jalan raya 9 Oktober lalu di Kota Kinabalu.

“Kita semua bersedih atas kehilangan mendiang tetapi kita percaya ada hikmah di sebaliknya dan hari ini Linda Tsen tampil ke depan bagi menyambung hasrat mendiang suaminya,” kata beliau.

Jelas beliau lagi, kita telah lihat bagaimana pembangunan dibawa oleh ahli parlimen lalu dan ia perlu diteruskan untuk kemajuan yang lancar.

Katanya lagi, kepercayaan BN terhadap rakyat Sabah telah terbukti dengan pengiktirafan terhadap mereka di Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

“Kita lihat bagaimana Tan Sri Pardikar Amin Mulia menjadi Speaker Dewan Rakyat sementara Datuk Armani Mahirrudin sebagai Timbalan Speaker Dewan Negara.”

Dalam majlis tersebut, Shahrizat turut menyampaikan sumbangan kepada orang-orang tua yang turut hadir dan bersama-sama memberi sokongan.

Lagi Berita