Slogan Pembangkang Sabah Untuk Malaysia Tidak Bawa Manfaat – TPM

SANDAKAN 29 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, slogan Sabah untuk Sabah yang dilaungkan Parti Maju Sabah (SAPP) pada kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi merupakan isu lama yang tidak membawa manfaat kepada rakyat negeri ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, sebaliknya rakyat Sabah bukan hanya untuk negeri ini sebaliknya peluang yang menanti mereka adalah di seluruh negara.

”Datuk Yong Teck lee (calon SAPP) cakap Sabah untuk Sabah. Ini cerita lama. Orang Sabah telah bergerak maju. Rakyat Sabah bukan hanya untuk Sabah, tapi untuk seluruh Malaysia. Malah banyak jawatan penting di sektor awam diisi orang Sabah.

”Sebab apa, orang Sabah ada keupayaan ada kebolehan, peluang yang ada di seluruh negara bukan di Sabah sahaja lagi,” katanya ketika berucap pada Majlis Mesra Rakyat di Kompleks Sukan Sandakan di sini malam ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) dan calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin.

Tambah Muhyiddin, sehubungan itu para pengundi di Batu Sapi diseru supaya tidak mempersia-siakan undi mereka dengan memilih parti yang tidak mampu membawa apa-apa manfaat.

Menurut beliau, sedangkan kerajaan BN terbukti bukan berjanji kosong sebaliknya pimpinan yang ada sekarang begitu serius melaksanakan usaha untuk memakmurkan ekonomi negara melalui pelbagai pendekatan baru.

Namun ujarnya, kalau dilihat pihak lawan termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang turut bertanding di sini tidak akan mampu membuat apa-apa kerana mereka sendiri sudah menjadi parti yang kian roboh.

”Datuk Seri Anwar Ibrahim pun berdepan masalah, tapi partinya nak bertanding juga. Orang Sabah mana kenal PKR. Apa dia punya keupayaan.

”Takkan orang Sabah nak pilih parti macam ini. Takkan nak beri satu undi penting kepada PKR. Calon dia jatuh laut bila jeti runtuh, dia boleh tengok saja, tapi tak boleh buat apa,” ujarnya.

Lagi Berita