UMNO Bangkit Pertahan Islam – Jamil Khir

GUA MUSANG 29 Okt. – Tuduhan Pas bahawa UMNO tidak memartabatkan Islam serta memperalatkan agama bagi tujuan politik merupakan satu fitnah yang sengaja dicetuskan untuk mengelirukan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, perbuatan Pas itu sangat dimurkai Allah kerana ia boleh mencetuskan kekeliruan rakyat sedangkan UMNO sejak merdeka lagi bersungguh- sungguh meningkatkan syiar Islam di negara ini.

Kata beliau, kesungguhan UMNO itu terbukti dengan wujudnya pelbagai institusi dan agensi berteraskan Islam selain berusaha meningkatkan pendidikan Islam serta melahirkan lebih ramai para ilmuwan Islam.

“Kesemua usaha ini hasil perjuangan UMNO yang berjaya meletakkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Ini merupakan satu hakikat dan ini adalah satu sejarah. Perkara ini perlu diakui oleh semua pihak termasuk Pas.

“Sejujurnya UMNO selama ini tidak pernah memperalatkan Islam sebagai satu modal politik sebaliknya kami yang bangkit mempertahankan Islam,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas tuduhan Pas yang disiarkan dalam risalah kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas parti itu bagi bilangan keempat yang diedarkan kepada orang ramai semalam.

Antara tuduhan Pas di dalam risalah tersebut di bawah tajuk ‘Kenapa jangan sokong UMNO’ ialah tindakan UMNO menjadikan Islam sebagai kuda tunggangan parti berkenaan.

Pas turut menuduh UMNO tidak membela agama kerana gagal menangani masalah murtad serta peranan ulamanya yang hanya ditugaskan untuk melawan Pas.

Menurut risalah itu, ulama di dalam UMNO juga ditugaskan membaca doa, tahlil dan marhaban.

Jamil Khir berkata, beliau secara peribadi tidak hairan dengan tindakan tersebut kerana pemimpin-pemimpin Pas sanggup melakukan apa sahaja demi kelangsungan politik mereka.

Beliau berkata, demi politik mereka sanggup mempengaruhi rakyat dengan berita-berita berbentuk fitnah dan disebabkan politik juga pemimpin-pemimpin parti itu sanggup menyebarkan maklumat tidak benar.

Beliau berkata, demi politik mereka sanggup mempengaruhi rakyat dengan berita-berita berbentuk fitnah dan disebabkan politik juga pemimpin-pemimpin parti itu sanggup menyebarkan maklumat tidak benar.

“Bukankah perbuatan mereka ini amat dilarang di dalam Islam. Saya pasti pemimpin-pemimpin mereka tahu mengenai hukum hakamnya kerana mereka di kalangan orang yang berilmu.

“Saya ingin memetik satu maksud ayat al-Quran, kamu tahu bercakap tetapi kamu tidak pernah buat. Ini sebenarnya yang berlaku di dalam Pas,” katanya.

Beliau berkata, bukti yang jelas bagaimana proses membangunkan Islam di Kelantan sejak diperintah oleh Pas 20 tahun yang lalu tidak menunjukkan perubahan.

“Semuanya masih ditakuk lama. Mereka hanya tahu bercakap tetapi apabila kita lihat Kelantan pembangunan Islamnya tidak sehebat manapun.

“Berbanding dengan kita, UMNO telah membuktikan komitmennya menaikkan syiar Islam. Kerajaan mana yang menaikkan elaun 14,000 imam, 32,600 guru KAFA dan membina 22,000 buah masjid jika bukan UMNO dan BN,” katanya lagi.

Beliau dalam pada itu turut membidas Pas yang menuduh hubungan UMNO dan MCA adalah dilarang sebaliknya hubungan parti itu dan DAP diizinkan atas nama tahalluf siyasi.

“Pada mereka, hubungan yang kita (UMNO) jalin dengan MCA dilarang tetapi Pas dengan DAP diizinkan oleh Islam. Inilah wajah sebenar Pas yang sering menghalalkan perbuatan yang mereka lakukan.

“Meskipun kita tahu, akibat daripada persahabatan mereka itu sikap Pas kini semakin buruk,” katanya.

Lagi Berita