Hak Rakyat Sabah, Sarawak Terjamin Dalam Perlembagaan

SANDAKAN, 31 Okt – Kerajaan pusat di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terus memastikan hak-hak negeri Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sentiasa terpelihara, kata Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata hampir semua perkara asas atau pokok perjanjian Malaysia sudah dimasukkan dalam Perlembagaan dan isu itu tidak seharusnya dibangkitkan lagi semata-mata untuk menagih populariti.

“Misalnya dalam soal kerajaan tempatan, hak autonomi kerajaan negeri Sabah masih wujud. Begitu juga dalam soal kehakiman kita ada Mahkamah Tinggi Borneo dan Mahkamah Tinggi Malaysia.

“Ini menunjukkan hak-hak negeri Sabah dan Sarawak sentiasa terjamin seperti yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan lesen perisian “age paperless homework” (zaman kerja rumah tanpa kertas) di SK Karamunting, dekat sini hari ini.

Ongkili turut membidas presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee yang memainkan isu hak-hak dan automoni negeri Sabah (Sabah for Sabahans) untuk tujuan meraih sokongan dalam pilihan raya kecil Batu Sapi.

“Dulu, beliau (Yong) sebagai Ketua Menteri “diam sahaja”… tidak pun lantang memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah. Tiba-tiba seperti baru bangun dari tidur… Yong kini melaung-laungkan slogan Sabah for Sabahans.

“Ini semua permainan politik beliau yang mahu dilihat sebagai pejuang Sabah untuk mendapatkan sokongan rakyat… ini bukan perkara baru, kami dalam PBS (sewaktu dalam barisan pembangkang) pun dari dulu sampai sekarang terus memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah… saya harap rakyat Batu Sapi menolak “wayang politik” parti pembangkang,” katanya, dan menambah kata bahawa lebih mudah untuk menyelesaikan sesuatu isu apabila ada hubungan baik kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.

Sehubungan itu, Ongkili mahu pengundi di Batu Sapi memilih calon Barisan Nasional (BN) Datin Linda Tsen Thau Lin sebagai wakil mereka ke Parlimen pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Batu Sapi 4 Nov ini.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Datuk Edmund Chong Ket Wah (BN) memperoleh 9,479 undi menewaskan calon Bebas Dr Chung Kong Wing yang mendapat 5,771 undi.

Lagi Berita