Jangan Gadai Undi Pilih Calon Salah – Abd Ghafur

SANDAKAN, 31 Okt- Pengundi di kawasan Parlimen Batu Sapi diminta supaya tidak mensia-siakan undi mereka dengan memilih calon yang salah pada pilihan raya kecil Khamis ini.

Anggota Parlimen Kalabakan Datuk Abdul Ghapur Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kalabakan berkata, pemilihan wakil rakyat yang salah akan hanya menggugat kelancaran pelaksanaan program-program pembangunan selama ini yang mampu memberi kebaikan dan faedah kepada rakyat.

“Saya bimbang sekiranya kawasan Parlimen Batu Sapi ini jatuh kepada pihak lain yang bukan daripada parti komponen BN, ia akan menyebabkan sebarang masalah dan keperluan rakyat, termasuk projek-projek pembangunan, sukar dibawa kepada perhatian pemimpin kerajaan pusat,” katanya.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui semasa melawat Daerah Mengundi Sekong di Kampung Segaliud dekat sini beliau berkata dengan memberi kemenangan kepada calon BN Datin Linda Tsen Thau Lin, ia akan memberi semangat dan kekuatan kepada wakil rakyat yang baru untuk bekerja keras dalam membela nasib dan kebajikan rakyat.

Pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi pada 4 November ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Datin Linda Tsen Thau Lin, calon SAPP yang merupakan presiden parti Datuk Yong Teck Lee, dan calon Parti Pakatan Rakyat (PKR) Ansari Abdullah.

Lagi Berita