Misi Skuad Sayang Berjaya – Rosni

GUA MUSANG 31 Okt – Program Salam Sayang Wanita UMNO berjaya melaksanakan tanggungjawabnya yang diamanahkan kepada mereka apabila berjaya menemui kira-kira 3,000 pengundi di DUN Galas sejak hari penamaan calon.

Timbalan Pesuruhanjaya Skuad Sayang Selangor, Datuk Rosni Sohar berkata, program Salam Sayang itu bukan sahaja tertumpu di kawasan Melayu sahaja tetapi turut membabitkan kawasan penempatan bukan Melayu di sekitar Galas.

“Kami akan cuba untuk bertemu dengan seramai mungkin pengundi sebelum hari pengundian, kami bergerak seawal pagi dengan mengunjungi pasar pagi di sekitar Bandar Gua Musang dan diikuti dengan kunjungan dari rumah ke rumah.

“Selain bertemu dengan pengundi, kami turut mengadakan pemeriksaan kesihatan, selain itu juga kami mengumpul maklumat untuk disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membantu mereka yang memerlukan,” katanya ketika mengunjungi Pasar Pagi Gua Musang, di sini.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Wanita UMNO Malaysia berkata, program yang dianjurkan itu  turut mengunjungi kediaman di kawasan yang dikatakan menjadi kubu kuat Pas seperti Kampung Sungai Terah dan Mentaga.

“Kami menyahut cabaran yang diberikan oleh Datuk Seri Najib (Tun Razak) supaya tidak hanya membuat program di kawasan selamat sahaja dan meminta Skuad Sayang turut menjalankan aktiviti mereka yang dikuasai pembangkang.

“Sambutan yang kami terima di kawasan terbabit amat menggalakkan, penghuni rumah menyambut kami dengan  baik dan kesempatan yang diberi memberi peluang untuk kami memberi penerangan sebenar. Saya yakin apa yang dilakukan oleh kami mampu membawa perubahan,” katanya.

Menurutnya, Skuad Sayang menerima banyak panggilan daripada penduduk Galas supaya mengunjungi kawasan mereka dan menjalankan aktiviti seperti mana yang dilakukan di kawasan lain kerana tertarik dengan program yang dijalankan.

Rosni berkata, dari maklumat yang kami terima membuktikan bahawa penduduk mahu satu perubahan dan menerima paya yang dilakukan oleh Skuad Sayang. – MediaUMNO

Lagi Berita