Orang Muda Undi BN Rancakkan Aktiviti Ekonomi

SANDAKAN, 31 Okt – Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Kah Siong meminta pengundi muda di kawasan Parlimen Batu Sapi agar terus menyokong Barisan Nasional (BN) untuk merancakkan lagi aktiviti ekonomi di Sandakan khasnya di Batu Sapi.

Beliau berkata Sandakan merupakan salah satu kawasan di Sabah yang berkembang pesat ekonomi dan perniagaannya hasil usaha kerajaan BN dan keadaan itu perlu diteruskan untuk memberi keuntungan perniagaan serta peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Saya berharap mereka dapat memberi sokongan kepada calon BN kerana saya nampak kawasan Batu Sapi dan Sandakan ini mengalami pembangunan yang agak rancak dan ia bukanlah suatu yang datang secara tiba-tiba.

“Ia memerlukan sokongan kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Jadi Kesinambungan pembangunan itu sangat penting,” katanya kepada pemberita selepas mengahdiri sesi dialog dan makan tengah hari bersama masyarakat Tioghua di sini hari ini.

Menurut Wee berbanding 20 tahun lalu, infrastruktur yang dibangunkan kerajaan BN bagi memudahkan rakyat menjalankan perniagaan dan urusan harian adalah kini jauh lebih baik.

Sehubungan itu beliau berkata sokongan rakyat kepada calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin amat penting bukan sahaja untuk membolehkan calon berkenaan meneruskan perjuangan suaminya juga untuk memastikan kesinambungan pembangunan Batu Sapi dan Sandakan.

“Semasa membuat lawatan untuk menemui golongan muda tadi, maklum balas yang diterima amat baik, tidak banyak aduan yang diterima.

“Cuma apa yang saya perhatikan di sini, ada pihak yang ingin mengungkitkan isu ‘Sabah Untuk Orang Sabah’.

Saya rasa kita harus lebih bertanggungjawab dengan kenyataan kita kerana Sabah, Sarawak dan Semenanjung adalah satu entiti (Malaysia),” katanya.

Menurut Wee membangkitkan isu ‘Sabah Untuk Orang Sabah’ atau siapa lebih berkuasa cuma akan membangkitkan kemarahan rakyat Sabah kepada Semenanjung dan ia tidak sepatutnya berlaku.

Beliau berkata sentimen seumpama itu termasuk kononnya Sabah di anak tirikan tidak diterima golongan muda di Sabah kerana ia cuma akan merugikan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.

Kawasan Parlimen Batu Sapi yang meliputi kawasan Dewan Undangan Negeri Karamunting dan Sekong, mempunyai 25,582 pengundi dan daripada jumlah itu, 15,099 atau 59.02 peratus adalah Bumiputera Islam, 689 atau 2.69 peratus Bumiputera bukan Islam, 9,737 atau 38.06 peratus Cina dan 57 atau 0.22 peratus etnik lain.

Lagi Berita