Pas Gagal Tangani Kerosakan Jalan Taman-Taman Perumahan

GUA MUSANG, 31 Okt – Banyaknya permintaan penduduk setempat supaya jalan-jalan kecil di kawasan perumahan di sekitar Gua Musang dibaik pulih membuktikan kerajaan Pas Kelantan gagal menangani isu itu, kata Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor.

Katanya, kementerian bersimpati dan berjanji akan membantu menangani permasalahan itu walaupun sebenarnya tugasan mengurus jalan-jalan taman adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Saya menerima banyak permintaan daripada wakil penduduk di Gua Musang terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas membabitkan permohonan baik pulih jalan-jalan kecil di taman-taman termasuk di Taman Wangi,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan ke Taman Wangi di sini sempena lawatan kerja ke Gua Musang hari ini.

Beliau yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata, kegagalan tersebut membuktikan ketidakmampuan kerajaan negeri untuk menangani isu itu sedangkan setakat Sept lalu kerajaan Barisan Nasional (BN) telah membelanjakan kira-kira RM370 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-Sembilan (RMK9) khusus untuk projek infrastruktur di Kelantan.

Sehubungan itu, beliau berharap peranan itu dapat dimainkan calon BN bagi pilihan raya DUN Galas Abdul Aziz Yusoff sekiranya dipilih pengundi Khamis ini.

“Saya rasa agak kesian kepada mereka dan saya rasa kalau calon yang menang nanti adalah daripada BN, beliau boleh main peranan supaya jalan di taman-taman dapat dijaga dengan lebih baik,” katanya.

Shaziman juga berkata kebanyakan penduduk yang ditemuinya menerima baik cara kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengutamakan kepentingan rakyat sambil berusaha memajukan negara.

Semasa tinjauan itu, Shaziman turut berkesempatan melawat seorang warga emas Mukri Omar, 50, yang mengidap sakit kencing manis dan barah usus di taman itu.

Dalam perkembangan lain Shaziman berkata, kerja-kerja menaiktaraf cerun-cerun di sepanjang jalan Simpang Pulai-Lojing-Gua Musang berjalan lancar sejak dimulakan kira-kira dua bulan sebelum ini.

Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga telah diarahkan membuat pemantauan 24 jam sehari untuk memastikan mereka memperoleh maklumat-maklumat terkini berhubung dengan keadaan cerun-cerun tersebut terutamanya antara Simpang Pulai ke Lojing yang dikesan berlaku pergerakan tanah.

Shaziman berkata, sebanyak RM33 juta diperuntukan untuk menaik taraf laluan antara Gua Musang-Lojing.

Lagi Berita