PM Selamat Pulang Dari Hanoi

PETALING JAYA, 31 Okt – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selamat pulang ke tanah air hari ini setelah mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Asean ke-17 dan sidang kemuncak berkaitan selama tiga hari di Hanoi, Vietnam.

Pesawat khas yang membawa beliau dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dekat sini, kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Sidang kemuncak kali ini sekali lagi menghimpunkan para pemimpin negara-negara anggota Asean untuk bertukar-tukar fikiran mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan Asean seperti kesalinghubungan Asean, pemulihan dan pembangunan mapan, keselamatan makanan dan tenaga, perubahan iklim, bantuan bencana, penyakit berjangkit dan arkitektur serantau.

Antara agenda terpenting adalah memperakukan penyertaan dua kuasa besar dunia — Amerika Syarikat dan Rusia — sebagai rakan rasmi Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) yang diterajui Asean, pelan induk mengenai kesalinghubungan Asean dan pilihan raya umum Myanmar yang ditetapkan pada 7 Nov ini.

Para pemimpin Asean turut menerima tiga dokumen iaitu Pelan Induk Kesalinghubungan Asean, Kenyataan Pemimpin Asean mengenai Pembangunan Sumber Manusia dan Kemahiran untuk Pemulihan Ekonomi dan Pembangunan Mapan serta Deklarasi Hanoi mengenai Meningkatkan Pembangunan Kebajikan Wanita dan
Kanak-kanak Asean.

Pada Jumaat, Najib menyertai rakan-rakan sejawatan beliau untuk menyertai sidang kemuncak berkaitan termasuk Sidang Kemuncak Asean+1 bersama China, Jepun, Korea Selatan; Asean+3 dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) yang melibatkan Australia, China, India, Jepun, New Zealand dan Korea Selatan.

Perdana Menteri turut menghadiri mesyuarat bersama Rusia, Australia, New Zealand dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Beliau turut menghadiri mesyuarat Pembangunan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) Kelima.

Selain itu, Najib menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Sapura Crest dan Vietnam Petroleum pada Sabtu.

Lagi Berita