Taktik Meloyakan ‘Pangkah Pas Masuk Syurga’ Masih DiGuna

GUA MUSANG 30 Okt. – Kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas mula dicemari dengan taktik kotor Pas apabila parti itu cuba mempengaruhi pengundi warga emas di sesetengah kawasan dengan mendakwa undi Pas masuk syurga.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman ketika pihaknya mengadakan kempen rumah ke rumah di beberapa buah kampung sejak lima hari lalu.

Ekoran itu beliau berkata, Wanita UMNO terpaksa memberi penjelasan kepada kumpulan pengundi terbabit bahawa penentuan syurga atau neraka merupakan hak Allah dan bukannya Pas.

”Saya tidak sangka yang Pas masih lagi memainkan isu pangkah Pas masuk syurga terutama di kalangan pengundi-pengundi warga emas. Kami terpaksa memberi penjelasan supaya mereka sedar kempen yang dijalankan oleh jentera Pas itu tidak benar.

”Akhirnya mereka faham penentuan syurga dan neraka adalah hak Allah. Apa yang kami lakukan ini bukan setakat berkempen malah turut memberi kesedaran kepada penduduk setempat mengenai perbezaan antara Islam dan Pas,” katanya  di sini hari ini.

Hamidah berkata, beliau dan anggota Wanita Wanita lain perlu membuat penjelasan itu supaya para pengundi mereka dapat gambaran yang jelas mengenai Pas.

”Islam dan Pas merupakan dua perkara berbeza. Islam adalah agama paling suci manakala Pas hanya sekadar sebuah parti politik yang berusaha meraih sokongan rakyat.

”Kami terpaksa melakukan peranan ini kerana kami tidak mahu penduduk di sini terutama warga emas terus terpengaruh dengan dakyah-dakyah Pas yang tidak berasas,” katanya lagi.

Beliau berkata, hakikatnya, Pas kini tidak lagi memperjuangkan penubuhan negara Islam seperti mana sebelum ini apabila parti tersebut membuat keputusan untuk bersahabat dengan DAP.

”Inilah antara perkara-perkara utama yang kita maklumkan kepada pengundi-pengundi di sini. Biar mereka tahu siapakah Pas yang sebenar,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, strategi kempen Wanita UMNO kali ini lebih menjurus kepada usaha mendampingi rakyat secara kumpulan-kumpulan kecil.

”Kebiasaannya bilangan penduduk bagi setiap kumpulan adalah antara 20 hingga 30 orang. Di dalam kumpulan ini kita akan menerangkan faedah serta kebaikan yang diperolehi sekiranya mereka menyokong calon Barisan Nasional (BN),” ujarnya.

Lagi Berita