Teck Lee Hilang Modal Jaja Isu Blok Minyak

SANDAKAN, 31 Okt – Parti Maju Sabah (SAPP) sudah kehilangan modal dalam kempen pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Batu Sapi sehingga menjaja isu blok minyak `Blok L dan M’ milik Brunei, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Afdal.

Beliau berkata isu itu sudah diputuskan dan tidak harus ditimbulkan lagi bagi menjaga hubungan baik antara Malaysia dan Brunei.

“Calon SAPP Datuk Yong Teck Lee sudah kehilangan modal untuk menarik sokongan pengundi di Batu Sapi hingga membangkitkan isu blok minyak `Blok L dan M’ milik Brunei.

“Perkara itu sudah diputuskan dan tidak harus ditimbulkan lagi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Penerangan Program Risda di Kampung Segaliud kira-kira 70 kilometer dari sini hari ini.

Mohd Shafie, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata Barisan Nasional (BN) mempunyai segala jawapan bagi isu yang dibangkitkan oleh Yong dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihan raya kecil Batu Sapi ini.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Mohd Shafie berkata Yong pernah menjadi Ketua Menteri Sabah dan sepatutnya beliau memperjuangkan segala isu yang dibangkitkan ketika itu.

“Dia (Yong) hanya mahu mempermainkan rakyat dan menggugat perpaduan pengundi di Batu Sapi untuk kepentingan diri,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Shafie yakin pengundi di Batu Sapi bijak menilai untuk memilih calon yang mampu membela nasib mereka iaitu BN.

Dalam pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi 4 Nov, BN meletakkan Datin Linda Tsen Thau Lin berhadapan dengan Yong dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ansari Abdullah.

Lagi Berita