Terus Sokong BN, Tolak Parti Lain –Tengku Adnan

SANDAKAN, 30 Okt. – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru rakyat agar terus memberi sokongan kepada BN yang telah memberikan jaminan berdasarkan kepada kemajuan dan kesejahteraan Negara.

Katanya, kemampuan BN sebagai sebuah kerajaan yang berlaku adil terhadap semua kaum di Malaysia tidak boleh dipertikai oleh mana-mana pihak malah tiada siapapun yang dapat menandinginya.

“Tidak kiralah berapa banyak sekalipun parti yang akan bertanding dengan BN, tidak ada satu pun yang boleh menafikan bahawa parti inilah yang telah memberi sumbangan dan membawa kepada pembangunan Negara,” katanya.

Menurut beliau, parti-parti kompenan dalam BN sendiri telah menunjukkan sebuah kesatuan dalam kepelbagaianyang melambangkan kekukuhan perpaduan masyarakatnya biarpun berlainan etnik, terdiri dari berbilang bangsa dan berlainan agama.

“BN tidak pernah bersikap talam dua muka atau menjanjikan sesuatu yang tidak mampu diberikan sebaliknya telus dalam melaksanakan tanggungjawab dengan memahami permasalahan rakyat.

“Kerajaan yang ada hari ini berlaku adil tetapi pihak pembangkang sering memanipulasikan apa yang dilakukan oleh BN biarpun secara tidak langsung mereka juga menikmati kesenangan hasil daripada pentadbiran BN,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO turut mengalu-alukan kemasukan anggota baru ke dalam UMNO yang melibatkan bekas Timbalan Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat(PKR) Batu Sapi, Amir Bak bersama dengan Naib Ketuanya, Abdullah Madu dan tujuh lagi anggota jawatankuasa bahagian selain 200 anggota bahagian itu.

“Kita bersyukur kerana rakyat sedar terhadap tipu muslihat pembangkang yang selama ini menggunakan mereka demi untuk kepentingan peribadi dan pangkat semata-mata,” katanya.

Turut serta menyertai UMNO ialah 50 anggota Parti Maju Sabah (SAPP) dari lima cawangan di Batu Sapi ekoran hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti.

Lagi Berita