DAP Jangan Main Auta Tentang Sejarah – Pemuda

Kuala Lumpur, 1 November –  “Sejauh mana kita melangkah jauh meninggalkan muzium, namun kita tetap tidak dapat meninggalkan SEJARAH yg ada didalamnya” begitu rapat antara hubungan sejarah dgn kehidupan manusia, ujar Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, Safarizul Mustaffa.

Sejarah juga kata beliau menjadi panduan dan pedoman bagi setiap manusia dan tamadunnya bagi  mengatur serta menyusun langkah kehadapan yang lebih baik.

“Sering juga kita mendengar ungkapan orang bijak pandai yang mengatakan bahawa mana-mana  bangsa yang tidak belajar dari sejarah bangsanya nescaya ia akan dihukum oleh kesilapan sejarah yang pernah dilakukannya.

“Dalam konteks ini apa yang telah diutarakan oleh Presiden UMNO dalam perhimpunan Agong yang lepas, ia seharusnya dilihat sebagai satu tindakan yang bertepatan dalam sebuah negara yang dihuni oleh berbagai bangsa, kaum, etnik dan fahaman agama ini kerana kalau susur galur sejarah kita tidak dihayati, dipelajari dengan baik dikhuatiri kelak boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat.

“Sekiranya sejarah itu dipelajari dan dihayati dengan baik saya yakin dan percaya bahawa setiap individu dan masyarakat dalam negara ini akan lebih saling menghormati antara satu sama lain kerana sejarah negara ini terlalu tinggi nilai sentimentalnya berbanding dengan mana mana sejarah negara lain,” ujarnya yang juga merupakan Setiausaha Sekretariat Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Justeru beliau mengingatkan DAP tidak perlu mempolitikan tentang isu cadangan yang telah dikemukan oleh kerajaan kerana perkara ini adalah tentang “fakta” dan bukan tentang “auta”.

Pada masa yang sama beliau juga berharap agar kerajaan tidak  tunduk atau merujuk tentang apa jua bentuk tekanan oleh pembangkang yang sering menentang bila mana sesuatu perkara yang dilihat tidak menguntungkan mereka walaupun perkara tersebut adalah perkara yang benar dan memberi kebaikan kepada masyarakat.

Sementara itu  Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Nazir Hussain Akhtar Hussin pula membidas sikap pemimpin DAP yang sentiasa mempunyai pemikiran sempit dan buruk sangka terhadap perlaksanaan tersebut.

DAP kata beliau lagi seharusnya sedar bahawa sejarah merupakan fakta yang jelas dan tepat bagi memberi pemahaman kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya kepada golongan muda dan generasi akan datang.

“DAP cuba untuk mempolitikkan isu tersebut yang seharusnya sejarah menjadi teras jatidiri setiap rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa. Tiada siapa boleh menafikan rentetan sejarah yang berlaku di negara ini .

“Apa yang kita maklum, dalam perjalanan sejarah negara Malaysia, parti DAP sebenarnya tidak memainkan peranan dan terlibat dalam apa juga perjuangan kerana mereka hanya menjaga kepentingan politik mereka sahaja sehingga hari ini.

“Mereka takut rakyat terutamanya golongan muda mengetahui bahawa DAP  sebenarnya mengamalkan politik sempit dan tidak mempunyai apa-apa jasa kepada rakyat dan negara sejak ditubuhkan,” ujarnya yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa. -MediaUMNO

Lagi Berita