Hentikan Putar Belit Fakta Projek Warisan Merdeka – TPM

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mahu tiada lagi pihak memutarbelitkan fakta mengenai projek Warisan Merdeka yang akan dibangunkan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Sambil menegaskan bahawa projek itu bukan dibiayai oleh kerajaan, Timbalan Perdana Menteri meminta supaya pihak berkenaan tidak memandang rendah akan kebijaksanaan institusi permodalan itu untuk membangunkan projek membabitkan pembinaan menara 100 tingkat.

“Tentu dia (PNB) bijak, jangan kita pandang rendah tentang kebijaksanaan PNB yang telah wujud sekian lama dan memberi hasil pulangan yang baik kepada pemilik saham.

“Saya tidak fikir ada pihak yang harus memutar (fakta) kecuali dia berniat tidak baik melihat ini sebagai suatu perkara yang tidak beri faedah kepada dia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran dan Persidangan BioMalaysia 2010 di sini hari ini.

Muhyiddin berkata demikian semasa menjawab satu soalan mengenai tindakan sesetengah pihak yang masih lagi mempertikaikan kewajaran pembangunan Warisan Merdeka, sebagai satu lagi mercu tanda negara.

Muhyiddin berkata projek itu bukanlah projek ikonik semata-mata tetapi mempunyai faedah dan pulangan kepada para pelabur yang telah difikirkan oleh PNB sebelum bercadang untuk membangunkan projek mega itu.

“Pastinya PNB tidak akan buat sebegini kalau dia tidak buat kajian mendalam. Bila PNB meneroka bidang sebegini dia kena ambil kira soal pelabur, hampir semua warga Malaysia termasuk yang bukan Melayu adalah pelabur.

“Jadi, dia ada kepentingan hendak melihat satu-satu pelaburan seperti hendak bina bangunan atau hartanah sebegitu akan beri pulangan yang baik kepada pelabur, tentu PNB sudah ambil kira perkara itu,” katanya.

Beliau berkata pihak-pihak yang mendakwa bahawa projek itu sebagai satu pembaziran kerana menggunakan wang rakyat adalah mereka yang tidak memahami rasional dan perancangan PNB.

“Saya agak terkilan bila ada pihak melihat ini sebagai satu pembaziran. Ini bukan wang rakyat tetapi ia adalah dana yang dimiliki oleh PNB yang menguruskan saham berjuta-juta. Saya percaya (mereka) yang tidak faham ini kerana tiada penjelasan secara terperinci,” katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin meminta pihak pengurusan PNB agar membuat penjelasan mengenai projek itu dan hala tujunya agar media dapat melaporkan perkara yang benar.

“Saya minta pengurusan PNB memperincikan apakah perancangan PNB masa depan, pelan-pelan sebegini mungkin tidak dijelaskan sebab itu ada tanggapan seolah-olah ini adalah satu projek yang tidak beri keuntungan,” katanya.

Projek Warisan Merdeka itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2011, 15 Okt lepas dan akan dibangunkan bersebelahan Stadium Merdeka dan Stadium Negara untuk tempoh 10 tahun.

Kedua-dua stadium itu akan dikekalkan dan dipelihara sebagai bangunan warisan.

Pada 21 Okt lepas, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman mengadakan taklimat mengenai projek itu kepada editor kanan media.

Hamad Kama Piah berkata PNB akan membangunkan projek itu menggunakan dananya sendiri atau mendapatkan pinjaman bank jika kadar faedah menarik, selain menjana dana di pasaran modal.

Lagi Berita