Kerajaan Cadang Benar Transmisi Automatik Ujian Memandu

KUALA LUMPUR 1 Nov. – Kerajaan bercadang untuk membenarkan penggunaan kenderaan transmisi automatik bagi ujian memandu di negara ini melalui penambahbaikan yang terkandung dalam Kurikulum Baharu Pendidikan Pemandu, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, bagi menggubah peraturan sedia ada iaitu hanya kenderaan manual boleh diguna untuk ujian memandu maka beberapa pindaan terhadap Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Lesen Memandu) 1992 perlu dibuat.

Perubahan perlu dilakukan terhadap struktur kurikulum pemandu, sistem ujian memandu dan memperkenalkan lesen memandu kelas automatik, katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) dan Matulidi Jusoh (BN-Dungun) mengenai sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan modul baru bagi ujian memandu kereta automatik bagi memberi kemudahan kepada pihak yang kurang mahir menggunakan kereta manual terutama wanita dan warga tua yang ingin mendapatkan lesen memandu kelas automatik sahaja.

Lagi Berita