Perhebat Jentera Kempen – Tok Pa

GUA MUSANG, 31 Okt – Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed meminta jentera barisan nasional (BN) memperhebatkan kempen menjelang tiga hari terakhir pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Beliau berkata jentera parti itu, tidak kira badan perhubungan negeri ataupun pusat, perlu berhabis-habisan memikat hati pengundi di DUN Galas untuk memastikan kemenangan BN pada pilihan raya tersebut.

“Usaha jentera BN sudah kuat, namun kita perlu perhebatkannya lagi. Tambah lagi saat-saat akhir ini, kita tidak tahu apakah strategi mereka (pembangkang),” katanya kepada pemberita selepas melawat beberapa rumah di kampung Baru Hulu di sini hari ini.

Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, 46, dari PAS pada 27 Sept lepas akibat barah usus.

Calon BN Abdul Aziz Yusoff, 49, akan menentang Dr Zulkefli Mohamed, 44, dari PAS, pada pertandingan satu lawan satu, Khamis ini.

Mustapa berkata BN berpeluang memenangi pilihan raya kecil itu, namun situasinya kini dilihat masih 50-50.

Sehubungan itu, beliau berkata jentera kempen BN harus diperhebatkan lagi.

Mengulas mengenai tawaran RM250 oleh Pas kepada 1,557 pengundi luar berdaftar di kawasan DUN Galas untuk pulang mengundi pada pilihan raya kecil itu Khamis ini, Mustapa berkata kenyataan tersebut membuktikan Pas juga sebuah parti yang mengamalkan rasuah.

Lagi Berita