Parti Politik DiGesa Hormati Peringatan Raja-Raja Melayu

KUALA LUMPUR 1 Nov. – Beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) menggesa semua parti politik menghormati titah raja-raja Melayu yang bimbang mengenai trend politik semasa dan isu perkauman.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, apa yang disuarakan raja-raja Melayu itu amat relevan dengan keadaan semasa dan menunjukkan betapa keadaan sekarang memerlukan perhatian yang mendalam oleh semua pemimpin politik.

“Memang akan ada pihak tertentu yang mahu mengambil kesempatan terhadap keadaan yang berlaku itu sehingga menghancurkan segala yang telah dikecapi demi kuasa dan kepentingan politik.

“Tetapi kita harus ingat apa yang dititahkan raja-raja Melayu itu seharusnya dijadikan sempadan kepada kita semua,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hishammuddin diminta mengulas titah raja-raja Melayu kelmarin yang melahirkan rasa bimbang terhadap trend politik semasa dan isu-isu perkauman yang berlaku sejak kebelakangan ini yang seharusnya dipandang serius oleh semua pihak.

Beliau berkata, bagi UMNO, parti itu akan sentiasa mengambil perhatian titah raja-raja Melayu itu dan berusaha ke arah mengamalkan perjuangan politik yang bertepatan dengan matlamat parti.

“UMNO sememangnya sinonim dengan raja-raja Melayu. UMNO bukan dilahirkan di tepi jalan tetapi di istana, jadi apa yang disuarakan institusi raja di negara ini akan menjadi satu peringatan buat UMNO juga,” katanya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, raja-raja Melayu berhak menyuarakan kebimbangan tentang isu perpaduan rakyat yang kini banyak didalangi unsur-unsur hasutan sedangkan tiada undang-undang tegas diambil.

Katanya, perbuatan itu bukan sahaja harus ditangani oleh pemimpin UMNO tetapi juga semua pemimpin di dalam BN.

“Kontrak sosial kita harus ditegakkan semula. Sebagai permulaan orang Melayu perlu bersatu hati semula dan menerima hakikat kekuatan bilangan mereka yang besar di negara ini,” katanya

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, semua pihak wajar menjadikan nasihat raja-raja Melayu itu sebagai pengajaran dan panduan untuk memimpin masyarakat dan tidak tersasar daripada perjuangan yang sebenar..

“Semua pihak yang berkecimpung dalam dunia politik sama ada BN atau parti pembangkang seharusnya bersyukur dengan apa yang telah dicapai dan mengelakkan menyentuh isu-isu sensitif,” katanya.

Katanya, UMNO dan semua parti komponen BN sentiasa bersedia bekerjasama untuk memastikan tiada pihak yang tidak bertanggungjawab membangkitkan isu sensitif di negara ini terutama tentang perkauman.

Naib Presiden MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam pula berkata, parti-parti komponen BN tidak berhasrat untuk membangkitkan isu-isu sensitif demi kebaikan bersama.

Katanya, apa yang disuarakan oleh raja-raja Melayu itu seharusnya diberi perhatian mendalam oleh semua parti komponen BN dan juga rakyat Malaysia.

”Setiap kaum di negara ini mempunyai hak tersendiri dan setiap orang harus menghormatinya dan tidak perlu mempertikaikan hak kaum lain.

”Hanya langkah ini membantu masyarakat Malaysia hidup dalam keadaan aman dan damai serta membantu mengukuhkan lagi semangat perpaduan di kalangan generasi muda akan datang,” katanya

Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong pula berkata, pandangan raja-raja Melayu tersebut seharusnya dipandang serius pihak parti politik di negara ini.

“Apa yang penting bagi kita semua adalah keharmonian kaum yang perlu dijaga sepanjang masa. Kita harus memandang serius apa yang diperkatakan dan peringatan oleh raja-raja Melayu itu,” katanya.

Lagi Berita