Projek RM53 Juta Untuk Orang Asli Rompin

ROMPIN, 2 Nov – Projek tanaman nanas berimpak besar yang bakal dilaksanakan di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bermula pertengahan 2012 di Rompin akan membantu kira-kira 400 masyarakat orang Asli meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Projek seluas 2,000 hektar ini yang dinamakan Projek Nanas Tanam Rompin akan disertai oleh masyarakat orang Asli dari empat buah kampung iaitu Kampung Tanam, Kampung Jemeri, Kampung Jemeras dan Kampung Petoh.

Anggota Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis berkata, projek yang bernilai kira-kira RM53 juta itu sekaligus akan menawarkan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada masyarakat berkenaan selain mereka dapat menikmati kemudahan prasarana lain seperti balai raya dan gelanggang futsal.

“Dengan adanya projek seumpama ini, maka adalah tidak benar masyarakat Orang Asli sering dipinggirkan daripada pembangunan serta tidak diberi peluang menikmati kemajuan seperti kaum lain,” katanya kepada pemberita semasa melawat Kampung Tanam semalam.

Pembangunan fizikal projek ini akan bermula bulan ini.

Jamaluddin berkata projek tanaman nanas berkenaan tidak akan menceroboh kawasan tanah orang Asli.

“Saya sudah dimaklumkan oleh kerajaan negeri bahawa kawasan tanah perkampungan serta tanah tanaman orang Asli tidak akan diambil bagi projek ini dan ECER juga sudah memberi penjelasan kepada mereka berhubung perkara ini,” katanya.

Beliau juga meminta pihak ECER menyediakan kursus dan latihan seperti perniagaan kecil-kecilan, membuat kraftangan dan jahitan kepada golongan muda orang Asli bagi menjana pendapatan mereka. -Bernama

Lagi Berita