“Sama-sama Kita Pandai Bertanggungjawab” – Mohamed Aziz

DEWAN PARLIMEN, 2 Nov – Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamed Aziz hari ini merayu kepada Kementerian-kementerian terlibat supaya menggerakkan pegawai dan jentera agensi masing-masing untuk turun padang melihat sendiri, mengenal pasti dan membantu golongan rakyat termiskin.

“Kita tidak boleh hanya pandai menjawab, tetapi sama-samalah kita pandai bertanggungjawab,” rayunya.

Timbalan Pengerusi Tetap UMNO itu berkata, golongan itu jauh di pedalaman dan terlalu miskin sehingga tidak mampu untuk pergi ke pejabat atau jabatan berkenaan untuk memohon bantuan kebajikan.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat, ketika turun padang bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan pelbagai pemimpin, ke Sandakan, baru-baru ini, dia telah dibawa oleh empat wanita melihat sendiri kedaifan rumah mereka yang usang, tidak berdinding dan penuh daif berhampiran laut.

Menurutnya, apabila hujan atau malam, mereka tidur berlindung di satu sudut untuk mengelak daripada kesejukan.

“Semasa saya di Kampung Tronglid, Pulau Timbang, Sandakan, baru-baru ini, tiba-tiba empat perempuan tua pegang tangan saya dan meminta saya ikut dia melihat sendiri rumah mereka. Apabila sampai di rumah mereka, memang terkejut melihat rumah mereka yang sangat usang dan serba kekurangan. Dari jauh kita dapat melihat laut disebelah sana rumah mereka kerana tidak berdinding.

“Mereka ini terlalu miskin dan tentunya tidak mampu untuk pergi ke Sandakan memohon bantuan. Saya percaya keadaan ini boleh berlaku di kawasan pedalaman lain, termasuk di negeri seperti Kelantan dan Kedah. Tidakkah pernah pegawai kerajaan tiba untuk meninjau dan melihat kebajikan mereka ini?

“Mengapakah perkara sebegini berlaku? Siapakah yang bersalah? Siapakah yang akan menjawab kepada Allah kelak? Saya mohon pegawai-pegawai kerajaan dan agensi kerajaan, walau tidak cukup orang pun, turunlah cari mereka ini, kitalah yang kena pergi cari mereka ini dan bantu mereka sebab mereka tidak mampu cari kita minta bantuan kebajikan,” katanya di sini ketika mencelah sesi Penggulungan Perbahasan Bajet 2011, petang ini.

Mohamed Aziz berkata, tanggungjawab semua pihak adalah besar untuk berkhidmat kepada rakyat dan rakyat berhak mendapat khidmat terbaik.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee turut mencelah dan berkata ada banyak kawasan pedalaman patut mendapat perhatian sama, termasuk yang jauh sekali dan memerlukan waktu perjalanan yang lama seperti Kapit, Sarawak.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kee berjanji akan sama-sama mengajak seluruh jentera kerajaan dan agensinya melaksanakan tanggungjawab itu.

Katanya, beliau sendiri menjelajah dari setempat ke setempat ke seluruh negara untuk tujuan yang sama. “Baru-baru ini saya sempat pergi melawati sekitar Sabah dan tidak lama lagi ke Sarawak untuk tujuan itu.” -MediaUMNO

Lagi Berita