Hanya 10% Sahaja Guna Petrol Ron 97

KUALA LUMPUR 3 Nov. – Kenaikan harga petrol gred RON 97 sebanyak 5 sen kepada RM2.15 seliter semalam bukan satu isu yang patut dimanipulasi pihak tertentu kerana harganya sudah diapungkan mengikut pasaran minyak dunia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penetapan harga itu tidak lagi dilakukan oleh kerajaan dan ia tidak memerlukan sebarang pengumuman.

“Pembangkang kata kerajaan naikkan harga. Bukan kerajaan naikkan harga tetapi (kenaikan) berlaku mengikut harga pasaran. Ini berbeza dengan harga petrol RON 95 dan diesel yang masih diberi subsidi dan dikawal kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran inisiatif sistem laluan Identiti Korporat Malaysia (MyCoID) di sini hari ini.

Katanya, rakyat juga tidak perlu rasa panik kerana lebih 90 peratus penggunaan minyak di negara ini menggunakan RON 95 selain menjangkakan tidak ada kenaikan sehingga penghujung tahun ini.

Beliau berkata demikian berikutan pembangkang yang didakwa menggunakan isu kenaikan harga minyak RON 97 sebagai modal kempen pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi, Sabah dan Dewan Undangan Negeri Galas, Kelantan.

Lagi Berita