Semua Anggota UMNO Batu Sapi DiMinta Keluar Mengundi

SANDAKAN, 3 Nov – Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Lajim Ukin meminta semua pengundi terutama anggota Umno di Batu Sapi agar menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi esok.

Katanya adalah penting bagi semua pengundi termasuk anggota komponen parti Barisan Nasional (BN) hadir di pusat pengundian di kawasan masing-masing untuk mengundi.

“Saya juga merayu kepada pengundi lain agar keluar dan jalankan tanggungjawab anda, esok.

“Undi anda adalah penting bagi menentukan masa depan kawasan pilihan raya anda,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat media pilihan raya kecil kawasan Parlimen Batu Sapi di sini hari ini.

Esok seramai 24,047 pengundi (tidak termasuk pengundi pos) dijangka keluar mengundi di 12 pusat pengundian bagi kerusi Parlimen Batu Sapi yang kosong berikutan kematian Datuk Edmund Chong Ket Wah dalam kemalangan jalan raya pada 9 Okt lepas.

Pilihan raya kecil ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Datin Linda Tsen Thau Lin, iaitu balu kepada Chong, Presiden Parti Maju Sabah Datuk Yong Teck Lee dan Ketua Parti Keadilan Rakyat Tuaran Ansari Abdullah.

Lagi Berita