Anwar Tidak Selesa Dengan Pas

Tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyisihkan Pas adalah kerana beliau tidak dapat menerima imej berserban dan berjubah yang ditonjolkan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin ketika mendedahkan perkara itu berkata, mereka yang pernah bersama-sama PKR seperti beliau memang tahu bahawa Anwar cukup tidak selesa dengan keterampilan Abdul Hadi yang ala ‘Taliban’ itu.

“Saya berharap kepimpinan Pas dapat lihat bahawa mereka sedang mempercaturkan nasib umat Islam dan agamanya bila berterusan bersekongkol dengan Anwar.

“Takkan mereka tidak dapat melihat lagi sandiwara Anwar? Kalau Konspirasi 16 September pun Anwar boleh bohong mereka bulat-bulat, apa lagi bukti yang mereka mahu?

“Kalau sudah dibuktikan Pas hanya dipandang sebelah mata sahaja oleh Anwar pun masih lagi terkial-kial nak menari ikut rentak Anwar, saya tidak tahu apa lagi yang kepimpinan parti ini mahu buktikan?” kata beliau dalam blognya http://zul4kulim.blogspot.com di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, Pas sebenarnya boleh bergerak sendirian tanpa perlu mengharapkan sokongan PKR dan DAP.

“Tepuk dada tanyalah iman. Pas sebuah parti yang besar, keahlian ramai, jentera mantap dan petugas yang sangat komited.

“Pas boleh berdiri sendiri tanpa Anwar apatah lagi Lim Kit Siang (Penasihat DAP) dan anak lelakinya. Percayalah, selagi kita memenuhi syarat untuk mendapat bantuan Allah, pasti Allah akan membantu kita,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas nasihat bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin baru-baru ini bahawa sudah sampai masanya Anwar bersara daripada dunia politik, Zulkifli berkata, Penasihat PKR itu seharusnya menerima nasihat berkenaan dengan hati terbuka.

“Berlapang dadalah. Mungkin sudah takdir Allah jawatan Perdana Menteri bukan milik Anwar. Menjadi Perdana Menteri bukanlah segala-galanya di muka bumi ini, fikirkan dan renungkanlah nasihat Dr. Asri ini,” katanya.

Jelas Zulkifli, beliau sendiri telah beberapa kali menasihati Anwar supaya bermuhasabah diri dan menyelesaikan masalah peribadi yang sedang dihadapinya.

“Saya telah lihat sendiri bagaimana Anwar sanggup menggadai agama dengan mengheret saya ke hadapan Lembaga Disiplin kafir untuk membicarakan saya dalam isu kalimah Allah.

“Saya telah lihat sendiri bagaimana Anwar sanggup menggadai agama dengan mengheret saya ke hadapan Lembaga Disiplin kafir untuk membicarakan saya dalam isu kalimah Allah.

“Saya juga melihat depan mata saya bagaimana Anwar sanggup mengetepikan persahabatan dengan Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Ahli Parlimen Bayan Baru) selama 30 tahun hanya untuk membodek Kit Siang dan anak lelakinya.

“Maka saya lihat beliau bukan lagi Anwar yang kita kenal atau apakah Allah sekadar mahu umat Islam melihat warna sebenar beliau. Wallahualam, saya pun tak tahu,” ujarnya.

Lagi Berita