Clinton Akhiri Lawatan Dengan Ungkapan “Malaysia, Amerika Boleh!”

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Setiausaha Negara Amerika Hillary Rodham Clinton mengakhiri lawatan rasmi tiga harinya yang penuh dengan kejayaan ke Malaysia dengan melafazkan ungkapan “Malaysia, Amerika Boleh!”

Sambil menyatakan beliau gembira dengan apa yang dilihatnya dalam kunjungan sulung ke negara ini, Clinton berkata “saya boleh beri jaminan kepada anda bahawa ini bukan lawatan terakhir saya dan ingin datang lagi ke sini.”

“Semalam, saya mengadakan mesyuarat yang amat berjaya dengan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) serta Menteri Luar (Datuk Seri Anifah Aman) dan berbincang melalui telefon dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak).

Antara perkara penting yang kami kongsi bersama ialah untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi serta kemakmuran di Malaysia dan di seluruh rantau Asia Pasifik.

“Ekonomi Malaysia, yang berkembang dengan begitu baik, telah terjejas teruk oleh kemerosotan ekonomi global (tahun lepas), tapi ia kembali kukuh pada tahun ini. Dan cara kepimpinan serta rakyat Malaysia menangani cabaran untuk terus meletakkan negara ini di landasan ke arah mencapai pertumbuhan tinggi, sungguh mengkagumkan.

“Apa yang telah anda lakukan di Malaysia, seperti yang dapat disaksikan melalui dinamisme ekonomi dan segala apa yang saya lihat di sekitar Kuala Lumpur, adalah apa yang sebenarnya kita harapkan wujud di rantau ini (Asia Pasifik) secara lebih menyeluruh.

Anda mewujudkan banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan dan membebaskan rakyat daripada belenggu kemiskinan hingga akhirnya mempunyai peluang untuk mencapai impian mereka,” kata beliau.

Beberapa orang kenamaan Malaysia dan pegawai Amerika berada di Terminal Skypark di Subang dekat sini untuk mengucapkan selamat jalan kepada Clinton.

Mereka termasuk Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha, Duta Besar Malaysia ke Amerika Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis, Duta Besar Amerika Ke Malaysia Paul Jones, Pengerusi Malaysia Airlines (MAS) Tan Sri Dr Munir Majid dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin.

Terdahulu, Clinton menyaksikan wadah perkongsian antara MAS dan syarikat Amerika seperti Boeing, Pratt & Whitney dan GE. Turut dipamerkan pesawat Boeing 737-800 milik MAS yang baru tiba dari Seattle serta kelengkapan barunya, bahagian dalaman Boeing Sky dan enjin Pratt & Whitney (P&W).

MAS telah menempah 50 enjin P&W untuk kegunaan 25 pesawat A330 yang ditempahnya daripada Airbus. Syarikat penerbangan kebangsaan ini juga telah memesan 55 pesawat Boeing 737-800s.

Clinton berkata enjin P&W yang bahagiannya dihasilkan di Georgia dan Maine itu akan dipasang di Connecticut, manakala kerja penyenggaraan enjin berkenaan akan dilakukan oleh rakyat Malaysia.

Sambil menjelaskan bahawa perniagaan berbentuk demikian mempunyai banyak manfaat kerana mampu mewujudkan banyak jawatan bergaji tinggi dan yang memerlukan kemahiran, beliau berkata kerjasama yang menguntungkan kedua-dua pihak ini akan menyumbang kepada pemulihan ekonomi dunia “dan meletakkan kita semula di landasan untuk menikmati kemakmuran”.

Mengulas kenyataan Munir bahawa MAS akan muncul sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh pertama yang memiliki reka bentuk dalaman lebih menarik  siling lebih tinggi dan bahagian penyimpanan barang lebih besar berbanding pesawat B737-800, Clinton berkata “anda akan dapati orang sanggup berbaris untuk menaiki pesawat ini.”

Munir berkata MAS menghargai sokongan baik yang diterimanya daripada syarikat Amerika seperti Boeing, GE dan Pratt & Whitney sejak beberapa tahun lepas.

“Cabaran akan wujud pada masa akan datang berikutan wujudnya persaingan sengit dalam industri penerbangan, sama seperti cabaran yang akan wujud dalam persekitaran geo-politik.

Institusi dan syarikat yang telah mapan sejak sekian lama seperti negara dan perkongsian, tidak akan terpinggir dengan kewujudan institusi baru dan yang memberi saingan. Kami (MAS) akan terus wujud,” katanya.

Lagi Berita