Empat Pusat Mengundi Penempatan Orang Asli DiTutup 1 Tengahari

GUA MUSANG, 4 Nov – Empat pusat pengundian di kawasan pedalaman bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas ditutup pada 1 tengah hari ini, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Empat pusat pengundian yang ditutup itu ialah Pos Belatim, Pos Hau, Pos Bihai dan Pos Balar atas faktor kesemua kertas undi di kawasan itu perlu dibawa keluar menggunakan helikopter.

Menurut SPR seramai 924 penduduk Orang Asli menjadi pengundi berdaftar di empat kawasan itu.

Kesemua peti undi itu dihantar ke pusat pengumpulan peti undi dan penjumlahan undi yang terletak di Dewan Sivik Gua Musang di sini. Helikopter dijangka tiba pada 2 petang ini.

Keputusan pilihan raya kecil itu dijangka diumumkan pada 8 malam ini.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, pada 27 Sept akibat barah usus.

Pertandingan di DUN Galas membabitkan calon Barisan Nasional Abdul Aziz Yusoff dan calon PAS Dr Zulkefli Mohamed.

DUN Galas mempunyai 11,553 pengundi berdaftar.

Lagi Berita