PM: Kerajaan Sentiasa Di Sisi Masyarakat India

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa kerajaan akan berada di sisi masyarakat India ketika mereka berusaha untuk mencapai cita-cita masing-masing.

Dalam perutusan beliau sempena Deepavali 2010 di sini hari ini, katanya kerajaan bekerjasama dengan pelbagai kumpulan kaum India untuk  menyalurkan perkhidmatan serta kemudahan kepada komuniti tempatan.

“Kami juga akan akan tetap bersama anda apabila pertolongan diperlukan,” kata beliau.

Najib berkata beliau yakin masyarakat Hindu boleh mencapai penyelesaian kepada isu-isu dan masalah yang dihadapi di peringkat akar umbi jika komuniti itu tabah dan saling bertolak ansur.

Dalam pada itu, beliau menggalakkan masyarakat Hindu untuk mengakui semula kejayaan individu daripada komuniti tersebut, yang berunsurkan usaha bersungguh-sungguh serta ketabahan, dan menjadikan kejayaan itu sebagai inspirasi.

Najib dalam perutusan itu juga turut mengingatkan rakyat bahawa Malaysia telah muncul dengan prospek pembangunan yang baik daripada kemerosotan ekonomi dunia hasil kerja dan inisiatif semua.

“Kita tidak berfikir secara berpanjangan tentang kegelapan prospek ekonomi kerana kita tahu ia adalah kuasa kita sendiri untuk menggubal kejayaan yang ketara, atau pun dalam erti kata yang lain, untuk membuat cahaya sendiri,” katanya.

Beliau berkata pendekatan tersebut membawa makna yang sama untuk individu dan keluarga yang bertungkus lumus bagi mengecap kejayaan dan berdepan dengan pelbagai rintangan dalam usaha mereka mencapai cita cita.

“Dalam menghayati makna Deepavali, kita tidak harus risau atas kegelapan kerana kita semua berupaya untuk menjana cahaya tersendiri dan mencapai kejayaan yang diingini,” katanya.

Najib berkata beliau pasti masyarakat Hindu bersama-sama dengan rakyat Malaysia yang lain akan bekerjasama untuk mencapai pembangunan yang berterusan dan kejayaan bagi negara demi pendekatan 1Malaysia.

“Semangat kerjasama dan kekitaan yang dimaksudkan adalah juga jelas dilihat ketika rakyat Malaysia membuka pintu dan menyambut satu sama lain ke dalam rumah mereka untuk menyambut hari keutamaan, termasuk hari Deepavali,” kata Najib.

Beliau turut mengingatkan ketika menyambut perayaan Deepavali, mereka yang kurang bernasib baik – khususnya warga Malaysia yang dilanda banjir dan kehilangan harta serta pelbagai kesusahan tidak harus dilupakan.

“Marilah kita sama-sama menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukannya,” katanya.

Lagi Berita