Rakyat Sudah Sedar, Mahu Perubahan – Ku Li

GUA MUSANG, 4 Nov – Kemenangan pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi,Sabah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan menunjukkan kesedaran rakyat yang ingin perubahan.

Pengarah Pilihan Raya Dun Razaleigh Hamzah menyifatkan kemenangan itu membuktikankan kembalinya sokongan rakyat kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk meneraju negara ini.

“Ini terbukti rakyat ingin kepada perubahan dan kita akan bekerja dengan keras untuk membawa perubahan, saya lihat pada pilihan raya ini ramai di kalangan muda-mudi telah menunjukkan sokongan dan menampakkan mereka hendakkan perubahan.

“Saya percaya ada kesedaran di kalangan mereka (pengundi bukan Melayu) sehingga sanggup memberi sokongan kepada parti kita, itu sebab kita menang,”  katanya kepada media di kediamannya di Bukit Cekati, di sini.

Pada pilihan raya kecil DUN Galas, calon BN, Abdul Aziz Yusoff memperolehi undi sebanyak 5,324 menewaskan calon Pas, Dr Zulkifl Mohamed (4,134) dengan majoriti 1,190.

Menurutnya, pilihan raya kecil ini boleh dijadikan ukuran kepada BN untuk menilai sokongan rakyat tetapi untuk di Galas beliau yakin pengundi di situ telah menunjukkan sokongannya.

“Untuk kawasan DUN Galas jelas, bukan sahaja sudah diberi sokongan yang hebat tetapi telah menampakkan kepada kita, mahukan perubahan tak mahu cara lama yang dirasai oleh mereka bukan sahaja di Galas tetapi mungkin di Kelantan juga,” katanya.

Beliau berkeyakinan dengan kemampuan Abdul Aziz Yusoff yang dipilih sebagai wakil rakyat yang baru untuk membawa perubahan dan pembangunan yang amat dinanti-nantikan oleh penduduk Galas.

“Saya percaya Abdul Aziz yang baru dipilih sebagai wakil rakyat DUN Galas akan membawa suara ini ke Dewan Negeri bila bermesyuarat nanti, saya percaya diberi peluang untuk berunding dengan Menteri Besar Kelantan supaya mengemukakan harapan rakyat.

“Saya juga akan memberitahu beliau untuk mengemukakan pandangan lain yng diminta penduduk di kawasan Galas terutama Orang Asli yang ketinggalan walaupun sudah merdeka, mereka antara paling miskin di negara ini dan perlu beri perhatian yang serius,” katanya.

Tengku Razaleigh berkata antara yang dipohon oleh orang asli ialah mengekal tanah rizab serta untuk mereka bercucuk tanam kerana itulah sumber mereka untuk menyara keluarga masing-masing.

“Mereka hendak kekalkan rizab Orang Asli dan tanah untuk mereka bercucuk tanam dan menyara keluarga mereka. Mereka juga hendak pendidikan yang lebih baik, saya lihat ramai di antara mereka yang berjaya ke peringkat tinggi,” katanya.

Beliau meminta apa yang dijanjikan ketika pilihan raya kecil ini hendaklah ditunaikan kerana kegagalan melaksanakan janji yang dibuat boleh menyebakan hilangnya kepercayaan rakyat kepada BN.  -MediaUMNO

Lagi Berita