Keyakinan, Mandat Rakyat -Syed Ali

KUALA LUMPUR, 7 Nov – Kemenangan cemerlang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas bukti bahawa konsep 1Malaysia diterima rakyat, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

Malah kemenangan tersebut kata beliau, menunjukkan rakyat telah bangkit dengan semangat baru menolak politik perkauman yang dipelopori parti-parti pembangkang.

“Gagasan 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah diterjemahkan secara jelas oleh pengundi di Batu Sapi dan Galas,” katanya.

Menurut beliau, gagasan 1Malaysia yang selama telah diputarbelitkan oleh pihak pembangkang tidak berupaya mempengaruhi pengundi untuk menolak BN.

“Peringkat awal pihak pembangkang sengaja memainkan isu tersebut untuk memburukkan UMNO dan pentadbiran Najib,” katanya.

Ini katanya, kepimpinan dan pembaharuan politik yang dibawa oleh Najib semakin diterima baik oleh rakyat selepas BN terutama UMNO tidak berada di dalam keadaan selesa pada 12 pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini.

Syed Ali juga menarik perhatian bahawa ucapan Najib pada Perhimpunan Agung UMNO dua minggu lalu juga turut menjadi ukuran kepada rakyat untuk menilai halatuju UMNO selepas Pilihan raya Umum ke-12 lalu.

Katanya, Najib yang juga Presiden UMNO telah menunjukkan satu pendekatan dalam pembaharuan politik yang telah diterima baik oleh segenap lapisan masyarakat dan terbukti apa yang berlaku di Batu Sapi dan Galas.

“Ternyata pendirian dan penjelasan Najib berhubung pelbagai isu terutama Perlembagaan Negara telah meyakinkan orang-orang Melayu bahawa UMNO tetap mempertahankan masa depan mereka,” tegasnya.

Katanya, Najib telah berterus terang bahawa hak orang Melayu tetap akan dipertahankan manakala kepentingan kaum lain tidak pernah dipinggirkan.

Sehubungan itu katanya, berdasarkan keputusan pilihan raya kecil di Batu Sapi dan Galas telah memberi petanda awal bahawa rakyat sudah bersedia untuk menolak parti pembangkang menjelang PRU akan datang.

Mengulas perkembangan di Galas, Syed Ali yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata banyak faktor yang memihak kepada kemenangan cemerlang UMNO di kawasan tersebut.

“Paling ketara, keputusan di Galas mencerminkan rakyat Kelantan semakin bosan dengan telatah pemimpin PAS terutama Datuk Nik Aziz Nik Mat yang menjadikan agama sebagai modal politik,” ujarnya. -MediaUMNO

Lagi Berita