Parti Kompenan BN Diminta Turun Padang Selesaikan Masalah Rakyat

Kuala Lumpur, 7 Nov- Semua pimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN) diminta supaya sentiasa turun padang untuk bertemu rakyat agar mereka tahu bahawa BN merupakan satu-satunya parti yang terus berjuang untuk kepentingan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata urusan untuk menggerakkan program parti ke peringkat akar umbi adalah tanggungjawab bersama kerana ia juga merupakan langkah persediaan dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Saya cadangkan semua parti komponen parti turun lihat keadaan yang ada di bawah, cari jalan penyelesaian masalah mereka dan ambil tindakan yang lebih sesuai untuk bantu rakyat.

“Ini supaya mereka tahu bahawa BN adalah satu-satunya parti yang terus memperjuangkan kepentingan mereka dan akan menjamin masa depan mereka yang lebih baik lagi,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan 2010 di Dewan Wawasan, Menara PGRM di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN sendiri akan turun ke setiap negeri untuk memastikan setiap masalah yang dihadapi rakyat dapat diselesaikan sebelum pilihan raya umum akan datang.

“Pimpinan BN komited dengan apa yang nak kita lakukan, tentukan kita bekerja untuk memenuhi tuntutan rakyat, ini teras kepada apa yang kita lakukan, saya berbangga kerana inisiatif sudah bermula, tetapi langkah yang ada di hadapan kita adalah amat jauh sekali.

“Kita tidak boleh persiakan gerakan-gerakan yang dilakukan pihak di sana (pembangkang), masalah-masalah yang timbul hari ini baik ada hubung kait dengan sosial, ekonomi, politik dan pendidikan perkara ini kita akan uruskan, saya beri jaminan bukan saja saya akan dokong tetapi kita akan berusaha bersama-sama,” katanya.

Muhyiddin, yang membayangkan bahawa pilihan raya umum akan diadakan dalam “masa terdekat”, berkata yang menjadi ukuran terhadap segala usaha dan inisiatif BN adalah rakyat kerana merekalah yang akan menentukan sama ada parti ini akan terus berkuasa pada masa hadapan.

“Yang penting kita tinggal dua tahun lagi, saya sebut ini bukan sebab saya tahu bila pilihan raya, saya tidak tahu, Perdana Menteri yang lebih tahu, tetapi saya tidak kira tahun tetapi bulan, 30 bulan pun bulan juga.

“Jadi kita sebagai orang politik yang kita ambil kira selalunya kita kerja macam mana kuat sekalipun yang jadi ukuran adalah rakyat di bawah, sampai lima tahun dia pangkah ke tidak BN itu yang kita tentukan,” katanya. -MediaUMNO

Lagi Berita