Bantuan Banjir : Hampir 200 Sukarelawan BN Ke Kedah & Perlis

KUALA LUMPUR, 8 Nov –  Hampir 200 Sukarelawan Barisan Nasional (BN) hari ini dihantar ke Kedah dan Perlis bagi menyertai lebih 500 lagi rakan mereka di sana untuk membantu mangsa banjir di dua negeri tersebut.

Pelepasan konvoi sukarelawan itu telah dilakukan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Razali Ibrahim di perkarangan letak kereta di PWTC di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Fadillah Yusuf, Presiden Belia 4B Malaysia, Mua’amar Ghadafi Jamal dan beberapa pemimpin pemuda serta belia yang lain.

Menurut Datuk Razali skuad sukarelawan ini sebahagian besarnya pernah membantu BN dalam beberapa siri pilihanraya kecil lalu bermula di Manik Urai.

Misi bantuan ini kata beliau lagi membuktikan golongan ini sedia memberi khidmat kepada masyarakat yang memerlukan bantuan dan bukan hanya berkisar kepada pilihanraya semata-mata.

“Ingin saya tegaskan bahawa dalam sukarelawan ini tiada syarat, tiada kuota….siapa saja yang mahu boleh tampil ke hadapan untuk membantu.  Sebab itu kita mengalu-alukan mana jua pihak yang mahu menjadi sukarelawan baik dari rakan muda, persatuan belia, komponen parti mahupun ngo lain.

“Golongan muda ini yang tampil untuk membantu membuktikan mereka bukan seperti yang digambarkan yang hanya terlibat dalam perkara-perkara yang negatif”, katanya.

Jelas beliau lagi antara tugas yang akan dilakukan sukarelawan ini selain menyalurkan bantuan keperluan ialah membersihkan kawasan pusat pemindahan, tempat ibadat serta rumah mangsa banjir.

“Di sana terdapat lebih kurang 500 sukarelawan kita dan hampir 200 yang hadir hari ini akan memberi nilai tambah kepada kerja-kerja bantuan di sana.

“Mereka dijangka berkampung di sana lebih kurang tiga hari dan akan digantikan dengan sukarelawan lain setelah selesai melaksanakan tugasan mereka”, ujarnya.

Selain barang keperluan, sukarelawan yang berlepas hari ini turut membawa air minuman dan sebuah bot enjin bagi memastikan barang bantuan dapat disampaikan di kawasan yang terputus hubungan. -MediaUMNO

Lagi Berita