Enggan Jadi “Pak Turut”, Zaid Akur Tekanan PKR

KUALA LUMPUR 8 Nov – Pengumuan Datuk Zaid Ibrahim melepaskan semua jawatan dalam PKR adalah suatu kejutan pada politik tanah air kerana beliau adalah antara nama yang disebut-sebut untuk menerajui parti itu suatu hari nanti.

Bagaimanapun, kecelaruan serta sikap segelintir pemimpin parti yang tidak senang dengan kehadiran beliau menyebabkan Zaid terpaksa angkat tangan dan tunduk dengan cita-cita besar individu tertentu yang menganggap kehadirannya boleh merosakkan perancangan peribadi masing-masing.

Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Hamidah Osman apa yang berlaku itu sudah dijangka kerana untuk berada dalam PKR seseorang itu harus menjadi `Pak Turut’ dan mengikut acuan yang telah direka bentuk oleh segelintir pemimpin PKR bagi memastikan mereka terus berkuasa.

“Bolehlah dianggap kejutan, tetapi sememangnya perkara itu dah dijangka tetapi masanya terlalu cepat kerana PKR ketika ini sibuk dengan pemilihan dan Zaid antara calon yang bertanding kerusi panas parti itu.

“Untuk hidup dalam PKR, harus jadi `Yes Man’ kalau tidak, tak selamat. Itu yang terjadi pada Zaid Ibrahim, dia cuba menongkah harus perancangan kepimpinan tertinggi PKR akhirnya dia terpaksa menyerah kalah walaupun pemilihan PKR masih belum tamat,” katanya kepada umno-online.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulaas keputusan Zaid Ibrahim menarik diri bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR serta meletak semua jawatan dalam parti termasuk sebagai Pengerusi Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan.

Antara punca perletakkan jawatan itu adalah disebabkan rasa tidak puas hati Zaid Ibrahim terhadap  kepimpinan parti mengatasi pelbagai masalah manipulasi dan amalan pemilihan yang tidak adil, walaupun isu itu pernah disuarakannya sebelum ketika proses pemilihan sedang berjalan.

Hamidah berkata, seperti diketahui umum berlakunya kecelaruan dalam kepimpinan parti berkenaan apabila Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibarahim mempunyai kuasa lebih besar daripada presiden parti.

“Walaupun PKR mempunyai barisan kepimpinannya tetapi mereka semua ini tiada kuasa termasuk presidennya sendiri, yang paling berkuasa adalah penasihat, ini menunjukkan parti ini bercelaru.

“Di samping itu, tak kan Anwar hendak membiarkan anak emasnya (Azmin Ali) tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden, walaupun Anwar pernah menyatakan beliau tidak mencampuri urusan itu tetapi semua orang tahu Azmin adalah pilihannya,” katanya.

Menurutnya, walaupun selepas pemilihan kepimpinan PKR berakhir, parti itu akan tetap bermasalah dan ini boleh dilihat apabila Azmin ditabalkan sebagai Timbalan Presiden PKR yang baru nanti.

“Bila Azmin menang nanti, lagi banyak masalah yang akan berlaku, Azmin pasti akan meletak dan menyusun orang-orangnya bagi memastikan dia terus berkuasa dan membuang mereka yang tak disenangi.

“Kita lihat apa yang berlaku di Selangor, apabila Azmin cuba campur tangan dalam pentadbiran negeri kerana tidak sebulu dengan Menteri Besar (Tan Sri Khalid Ibrahim) dengan mengatakan kegagalan Khalid memimpin Selangor,” katanya.

Hamidah menyifatkan perletakkan jawatan Zaid itu sebagai bermulanya episod kekalutan dalam PKR menjelangnya Pilihan Raya Umum ke 13 bagi menentukan siapa yang bakal  bertanding.  -MediaUMNO.

Lagi Berita