Bajet Kerajaan PKR Selangor ‘Indah Khabar Dari Rupa’

SHAH ALAM, 8 Nov. –  Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata pembentangan bajet berimbang Kerajaan Negeri Selangor sejak kerajaan pakatan pembangkang mengambil alih pemerintahan daripada Barisan Nasional (BN), hanya ‘indah khabar dari rupa.’

“Jika dilihat rekod yang dilaksanakan kerajaan negeri, dari rekod 2008, 2009 hingga 2010, memang Menteri Besar membentangkan bajet berimbang, tetapi akhirnya bajet itu menjadi bajet defisit,” katanya.

Beliau berkata pada 2008, Selangor mempunyai lebihan sebanyak RM48 juta tetapi Bajet 2009 berakhir dengan defisit RM65.5 juta, manakala Bajet 2010 yang berakhir bulan depan dijangka mencatat defisit berjumlah RM144 juta, iaitu kira-kira 11 peratus daripada Bajet 2010 iaitu RM1.3 bilion.

“Jika mana-mana negara mengalami defisit 10 peratus, (maka ia) dianggap (berada) dalam kategori PIG iaitu Portugal, Iceland, Greece, iaitu negara-negara bankrap,”  katanya.

“Jika mana-mana negara mengalami defisit 10 peratus, (maka ia) dianggap (berada) dalam kategori PIG iaitu Portugal, Iceland, Greece, iaitu negara-negara bankrap,”  katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas Bajet 2011 Kerajaan Selangor yang dibentangkan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada hari pertama persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Dr Khir (BN-Sungai Panjang) juga berkata Selangor akan membentangkan Bajet Tambahan yang ketiga pada 2010 berjumlah RM8 juta pada sidang kali ini.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mempersoalkan pengumuman Abdul Khalid bahawa aset air di negeri itu bernilai RM10 bilion, bukan RM1 bilion seperti yang direkodkan semasa pemerintahan BN.

Beliau berkata nilai aset RM1 bilion itu sebenarnya hanya mengambil kira paip lama, bangunan serta loji rawatan, tidak termasuk nilai aset strategik seperti empangan dan kawasan tadahan hujan.

Dr Khir berkata sekiranya kerajaan negeri mahu menyewakan empangan dan  kawasan tadahan air yang bernilai tinggi kepada pemegang konsesi pembekalan air di Lembah Kelang iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), ia sudah tentu akan meningkatkan perbelanjaan modal, yang akhirnta memberi tekanan kepada pengguna melalui penetapan kadar bagi bekalan air.

Katanya, beliau juga dinasihati jururunding semasa penswastaan pembekalan air di Selangor agar kerajaan negeri tidak melepaskan pegangan aset strategik tersebut kepada pihak swasta.

Terdahulu, Abdul Khalid memaklumkan DUN bahawa pendapatan kerajaan negeri termasuk terimaan yang diperoleh daripada Kerajaan Persekutuan yang dimasukkan ke dalam Akaun Terimaan Bukan Hasil dan Akaun Amanah setakat akhir Oktober 2010  berjumlah RM417.23 juta, iaitu meningkat dua peratus daripada jumlah Terimaan pada 2009.

Lagi Berita