Banjir: Pas Lepas Tangan, Lupa Mereka Kerajaan Di Kedah!

KUALA LUMPUR, 9 Nov. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Pendang, Suraya Yaakob membidas tindakan Pas yang bertindak lepas tangan dan seakan terlupa bahawa mereka sebenarnya adalah kerajaan negeri di Kedah.

Katanya, sebagai sebuah kerajaan, Pas sewajarnya membantu semua rakyat di negeri terbabit tanpa melihat kepada idealogi politik apatah lagi dalam keadaan rakyat ditimpa malapetaka dan kesusahan.

“Apa yang kita nampak, Pas bersikap seolah-oleh mereka bukan orang yang mentadbir negeri tersebut sehinggakan tidak memberikan perhatian dan bantuan sewajarnya kepada rakyat,” katanya kepada umno-online.com.

Beliau berkata demikian dalam mengulas berkaitan kegagalan Pas tidak memberikan bantuan sepenuhnya kepada rakyat yang terlibat dalam bencana banjir di negeri itu.

Bidas Suraya yang juga Exco Pergerakan Wanita UMNO, kerajaan Pas di negeri tersebut bukan sahaja tidak membantu rakyat sebaliknya mereka bersikap defensif apabila ada pihak yang memberi teguran dan meminta mereka memainkan peranan.

“Pas Kedah tidak tahu laksanakan tanggungjawab dan lebih buruk lagi apabila pihak yang mereka lantik dalam jawatankuasa yang mereka namakan Majlis Keselamatan Kampung (MKK) bertindak sebaliknya iaitu mencuri barangan mangsa banjir,” katanya.

“Pas Kedah tidak tahu laksanakan tanggungjawab dan lebih buruk lagi apabila pihak yang mereka lantik dalam jawatankuasa yang mereka namakan Majlis Keselamatan Kampung (MKK) bertindak sebaliknya iaitu mencuri barangan mangsa banjir,” katanya.

Suraya yang turut turun padang dan bersama-sama rakyat dengan berkampung di tempat pemindahan banjir di Pusat Rakan Muda Pendang juga memberitahu ketaksuban Pas terhadap politik sehingga sanggup membeza-bezakan bantuan yang diberi kepada rakyat.

“Kita di sini secara jelas menolak mana-mana pihak yang menggunakan insiden ini untuk kepentingan politik mereka malahan kita tidak membenarkan sesiapa pun untuk mengibarkan bendera mana-mana parti di kawasan pemindahan banjir,” katanya.

Terangnya lagi, apa yang pemimpin Pas lakukan hanya sibuk memberikan penerangan kononnya mereka telah membelanjakan sebanyak RM2 juta untuk bantuan banjir kepada rakyat sedangkan bentuk bantuan tidak pernah dinyatakan.

“Mereka hanya tahu jumlah itu walhal kita sendiri tidak pernah memberikan jumlah wang yang dibelanjakan untuk rakyat sepanjang bencana tersebut kerana apa yang penting adalah kebajikan dan keselamatan semua.”

Katanya lagi, sebagai pemimpin seharusnya Pas tahu apa yang hendak dilakukan apabila berdepan masalah sedemikian dan bukannya buat ala kadar dan hanya untuk ahli mereka sahaja.

“Memang wujud pemimpin-pemimpin yang pilih kasih dan hanya mengutamakan ahli parti mereka untuk menghulurkan bantuan sama ada dengan memberi barangan atau sewaktu memindahkan mangsa ke pusat-pusat pemindahan.

“Sebagai sebuah kerajaan, mereka perlu membantu rakyat keseluruhannya tanpa melihat kepada idealogi dan pegangan politik mangsa, tetapi mereka hanya membantu ahli-ahli Pas sahaja.

Maklumnya lagi, ada pemimpin dan exco Pas negeri sendiri yang tidak mahu membantu rakyat sekiranya mereka adalah ahli UMNO.

“Dalam UMNO, kita tidak mengamalkan sikap sedemikian malahan kerajaan Pusat sendiri memberikan bantuan sama rata tanpa melihat parti yang mereka sokong. Inilah sebenarnya kerajaan yang bertanggungjawab terhadap rakyat,” tegasnya lagi.

Keadaan banjir di Kedah beransur pulih setelah keadaan buruk dengan jumlah mereka yang dipindahkan menjangkau kepada kepada 40,000 orang. – MediaUMNO.

Lagi Berita