Banjir: Pekebun Akan Dibantu

ALOR SETAR 8 Nov. – Agensi- agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah diminta membantu pekebun mengusahakan semula kebun mereka yang musnah akibat banjir di negeri ini sejak minggu lalu.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal memberitahu, bantuan itu meliputi penanaman semula getah untuk mengelakkan masyarakat khususnya di luar bandar kehilangan mata pencarian.

“Agensi terbabit iaitu Risda, Felcra dan KEDA (Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah) diminta supaya membantu pekebun di kawasan yang terlibat dalam banjir yang mengalami kerugian besar.

“Pastikan bantuan dapat dihulurkan secepat mungkin tetapi dapatkan dahulu anggaran sebenar kerugian sebelum bantuan diberikan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata demikian selepas melawat pusat pemindahan banjir di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi KEDA, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Mohd. Shafie berkata, agensi-agensi berkenaan juga perlu memantau perkembangan mangsa banjir yang terlibat supaya dapat disalurkan bantuan lain seperti pembaikan semula rumah yang rosak akibat bencana tersebut.

“Kita (kementerian) akan membantu, tetapi apa yang penting ialah masyarakat di luar bandar menjaga kesihatan kerana selepas banjir pelbagai penyakit boleh dihidapi,” katanya.

Menurutnya, mangsa banjir termasuk di luar bandar memerlukan bekalan air bersih dan bekalan elektrik demi keselamatan mereka.

“Lima hari lalu, saya menghubungi Tan Sri Rozali Ismail (Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Bhd.) dan beliau bersetuju menghantar 20 lori tangki untuk membekalkan air bersih ke kawasan dilanda banjir dengan kerjasama pasukan tentera.

“Saya juga meminta bantuan Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh (Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd.) supaya pihaknya memastikan bekalan elektrik selepas banjir tidak terputus di luar bandar demi keselamatan penduduk,” katanya.

Lagi Berita