Cadangan DAP Inggeris Bahasa Rasmi Kedua Melampau

KUALA LUMPUR, 9 Nov. – Fellow Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) Profesor Datuk Abdul Halim Sidek menyifatkan cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri DAP untuk menjadikan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua sebagai melampau dan berlawanan dengan teras dalam Bahasa Kebangsaan yang menjadi pegangan negara.

Semalam, Jagdeep Singh Deo (DAP-Datuk Keramat) telah menyuarakan agar bahasa Inggeris dijadikan sebagai bahasa kedua di Pulau Pinang ketika bercakap dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2011 pada persidangan DUN di Georgetown.

“Sebagai ADUN, seharusnya beliau faham dasar-dasar yang dilaksanakan dalam Persekutuan Malaysia dan kandungan dalam Perlembagaan, namun apabila cadangan ini dikemukakan barangkali beliau sengaja buat-buat tidak faham,” katanya ketika dihubungi umno-online.com.

Abdul Halim yang juga pensyarah di Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut membidas cadangan tersebut dan menganggapnya sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab.

“Setiap warganegara terikat dengan Perlembagaan Persekutuan dan sebagai wakil rakyat, beliau sewajarnya bertanggungjawab untuk menilai apa yang hendak dicadangkan kerana apa yang disuarakan ini boleh menimbulkan salah faham dan huru-hara dalam masyarakat.”

“Setiap warganegara terikat dengan Perlembagaan Persekutuan dan sebagai wakil rakyat, beliau sewajarnya bertanggungjawab untuk menilai apa yang hendak dicadangkan kerana apa yang disuarakan ini boleh menimbulkan salah faham dan huru-hara dalam masyarakat.”

Maklumnya lagi, peruntukan berkaitan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan sudah jelas melalui Dasar Bahasa Kebangsaan sendiri.

“Biarpun Pulau Pinang ditadbir oleh kerajaan pakatan pembangkang dengan Ketua Menterinya dari DAP tetapi setiap negeri di bawah Persekutuan ini adalah terikat dengan Perlembagaan dan juga Kerajaan Pusat.

Katanya, tidak ada status autonomi di Pulau Pinang biarpun ia bukan ditadbir oleh Barisan Nasional.

“Walaupun cadangan ini baru disuarakan dan ibarat hanya latihan akademik sahaja tetapi ia mungkin dirancang agar ia dibincangkan di dalam Dewan Negeri dengan adanya pihak yang mungkin menyokongnya.”

Soal Abdul Halim lagi; apakah motif sebenar DAP membangkitkan cadangan tersebut?

“Ini bukan isu untuk mencari populariti kerana sebagai wakil rakyat, tanggungjawab mesti diutamakan sedangkan cadangan tersebut secara jelas boleh menjana kepada satu keadaan yang tidak sihat,” jelasnya.

Terangnya lagi, bahasa Kebangsaan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang mana ianya dikawal di bawah Akta Hasutan.

“Bahasa Melayu bukan hanya bahasa rasmi negara tetapi ia juga menjadi bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan awam dan bahasa pengantar serta bahasa ilmiah di sekolah dan institusi pengajian tinggi dan kedudukannya diperbaiki peringkat demi peringkat,” katanya.

Tambahnya lagi, kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan jelas termaktub dalam Perlembagaan Malaysia iaitu Fasal (1) Perkara 152 yang menyatakan bahawa: Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukan. – MediaUMNO

Lagi Berita