Hanya 903 Bukan Melayu Sertai ATM Pada 2008, 2009

KUALA LUMPUR, 9 Nov – Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata hanya terdapat 903 anggota bukan Melayu dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memasuki perkhidmatan itu bagi tempoh dua tahun lepas.

Beliau berkata jumlah itu merangkumi 82 anggota berbangsa India, 26 (Cina), manakala 795 lagi adalah kaum-kaum lain yang meliputi kaum peribumi Sabah dan Sarawak.

“Kementerian mendapati penyertaan kaum bukan Melayu terutama kaum Cina dan India masih berkurangan berkemungkinan disebabkan kekhuatiran terhadap disiplin yang ketat, ganjaran kurang berbanding swasta, tiada galakan daripada keluarga serta semangat patriotisme yang belum cukup tinggi,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga berkata kerajaan tidak meletakkan sebarang kuota untuk kemasukan dalam ATM kerana penyertaannya adalah berasaskan kelayakan, minat dan secara sukarela.

Ahmad Zahid berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Datuk Mohd Jidin Shafee (BN-Setiu) meng BKenai jumlah anggota tentera baru yang diambil dalam tempoh dua tahun lepas berbanding sebelumnya, jumlah pecahan mengikut kaum serta punca masalah kekurangan kaum tertentu dalam ATM.

Beliau berkata seramai 9,054 pegawai dan anggota lain-lain pangkat telah diambil memasuki perkhidmatan ATM berbanding 14,749 orang pada dua tahun sebelumnya.

“Sebanyak 8,151 daripada 9,054 yang menyertai ATM pada tahun 2008 dan 2009 adalah kaum Melayu,” katanya.

Lagi Berita