Sebelum Jauh Melalut, Nik Aziz Juga Patut Undur

Apabila saya terbaca di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia bertajuk  ‘Anwar patut undur’, saya secara peribadi amat bersetuju dan mengharapkan ianya benar-benar menjadi kenyataan. Kerana keberadaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kancah politik pembangkang sangat merugikan umat Islam dan Melayu dalam negara ini.

Bagi mengembalikan kekuatan Islam dan Melayu di Malaysia bukan sahaja beliau perlu berundur bahkan sewajarnya beliau yang menjadi penasihat PKR ini seharusnya melakukan pengorbanan yang lebih besar dengan membubarkan PKR demi kepentingan umat Islam seperti apa yang dilakukan oleh Semangat 46 suatu ketika dahulu.

Tidak adil sekiranya hanya Datuk Seri Anwar sahaja yang perlu berundur, bagi saya Datuk Nik Aziz juga sudah sampai masanya untuk beliau bersara dalam arena politik dan Pas. Bukanlah saranan ini sebagai hasad atau iri kepada beliau tetapi sebagai satu langkah bagi permulaan tranformasi politik yang dapat menguntungkan rakyat.

Banyak sebab lain yang mendorong mengapa Datuk Nik Aziz perlu berundur dalam  politik, di antara faktor besarnya adalah beliau dilihat sebagai batu besar penghalang kepada perpaduan umat Islam di bawah satu kerajaan.

Banyak perkataannya menyebabkan kebaikan yang besar ini tidak dapat dicapai kerana beliau mempunyai pengaruh yang besar dalam Pas walaupun terdapat generasi baru dalam Pas teramat inginkan perpaduan  ini.

Selain itu juga, Datuk Nik Aziz boleh dianggap sebagai lambang ketaksuban agama. Seolah-olah perkataan-perkataan yang keluar dari mulut beliau tentang agama dianggap suci dan tidak boleh dikritik dan dipertikaikan lagi.

Kadang-kala terdapat kenyataan beliau itu bercanggah dengan kebenaran tetapi tetap diterima oleh para pengikut dan penyokongnya. Bahkan tidak diperbetulkan oleh rakan-rakan yang sealiran denganya.

Seperti kenyataan beliau berkenaan ‘Allah mencarut’, persetujuan beliau tuduhan kafir kepada UMNO, pembelaan beliau terhadap ‘syiah’ yang berada di dalam Pas dan banyak lagi perkara-perkara beliau perkatakan  yang bercanggah dengan prinsip Islam.

Hakikatnya, sekiranya perkara ini berterusan dan beliau masih tegar tidak mahu berundur dapat menyebabkan usaha ke arah kebaikan Islam, perpaduan dan kestabilan politik negara sukar untuk direalisasikan dengan segera.

Beliau juga harus akur dengan kesihatan diri disebabkan peningkatan usia. Hal ini dapat menjejaskan ketajaman dalam pentadbiran dan urusan rakyat. Sedangkan tokoh-tokoh politik yang sebaya dengan beliau samada dalam pembangkang dan kerajaan ramai yang telah meninggalkan arena politik.

Di samping itu juga, sekiranya beliau sedia berundur dapat memberi peluang kepada generasi baru untuk mengambil alih peranan yang lebih besar ,kerana gaya politik era baru sekarang memerlukan ketangkasan fizikal dan ketajaman mental bagi menghadapi segala mehnah dan tribulasi dalam pengurusan umat Islam, Melayu dan negara.

Ahmad Tajuddin Idris Al-Manhaji

Ketua Biro Belia Dan Cinta Rakyat (CITRA)

Sekretariat Ulama Muda UMNO (iLMU)


Lagi Berita