Linda Tsen Angkat Sumpah Anggota Parlimen Baru

KUALA LUMPUR 9 Nov – Datin Linda Tsen menerima sokongan padu daripada ahli-ahli Dewan Rakyat sebagai Anggota Parlimen yang baru hari ini.

Beliau diberi tepukan gemuruh selepas mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Pandikar Amin menyeru Tsen supaya memberi sumbangan berguna dan berfaedah kepada Dewan Rakyat dan negara serta berkhidmat dengan cemerlang kepada rakyat.

Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) dan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) menyampaikan kata-kata aluan dan ucapan tahniah kepada Tsen selaku Anggota Parlimen Batu Sapi.

Tsen, 54, yang juga Naib Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah menjadi Wakil Rakyat setelah memenangi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Batu Sapi Khamis lalu.

Wakil Rakyat kawasan itu sebelum ini disandang oleh mendiang suami Tsen, Datuk Edmund Chong yang meninggal dunia 9 Okt lalu.

Lagi Berita