Linda Tsen Ikrar Beri Khidmat Terbaik Di Batu Sapi

KUALA LUMPUR, 9 Nov – Ahli Parlimen Batu Sapi, Datin Linda Tsen hari ini menerima sokongan padu daripada ahli-ahli Dewan Rakyat sebagai Anggota Parlimen yang baru.

Beliau diberi tepukan gemuruh selepas mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Selepas upacara angkat sumpah, Pandikar Amin menyeru Tsen supaya memberi sumbangan berguna dan berfaedah kepada Dewan Rakyat dan negara serta berkhidmat dengan cemerlang kepada rakyat.

Tsen, 54, yang juga Naib Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah menjadi Wakil Rakyat setelah memenangi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Batu Sapi Khamis lalu.

Wakil Rakyat kawasan itu sebelum ini disandang oleh mendiang suami Tsen, Datuk Edmund Chong yang meninggal dunia 9 Okt lalu.

Selepas mengangkat sumpah,  Datin Linda Tsen berikrar untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan mendiang suaminya Datuk Edmund Chong Ket Wah dalam memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat.

“Saya masih baru dan banyak yang perlu dipelajari dan ikuti. Secara dasarnya saya akan cuba untuk meneruskan apa yang suami saya mulakan dan saya juga perlu tabah,” katanya.

“Pada masa yang sama, saya perlu turun ke bawah untuk bertemu rakyat dan melihat apa yang mereka perlukan.  Saya perlu bersuara untuk mereka,” ujarnya. -MediaUMNO

Lagi Berita