Malaysia Sedia Jadi Jambatan Dunia Islam, Barat

KUALA LUMPUR:  8 Nov. – Datuk Seri Najib Razak berkata, ukuran utama kemajuan sebuah negara ialah kualiti kehidupan rakyat serta kemampuannya menyumbang ke arah dunia yang lebih baik untuk semua dengan keselamatan global menjadi teras kepada pencapaian matlamat itu.

Sehubungan itu, Perdana Menteri percaya Malaysia menerusi peranan sebagai jambatan antara dunia Islam dan negara Barat, boleh memberi sumbangan signifikan dalam aspek berkenaan.

“Malaysia adalah negara Islam yang demokrasi dan sederhana dengan rakyat berbilang kaum serta memiliki hubungan kukuh dengan kedua-dua dunia Islam dan Barat.

“Matlamat kita ialah memperbaiki persefahaman serta mengurangkan permusuhan yang tersebar akibat tindakan golongan pelampau. Saya percaya gerakan kesederhanaan global adalah perlu untuk mengurangkan semua jenis ekstremis.

“Saya akan meneruskan seruan ini kerana kesederhanaan daripada semua kepercayaan ada peluang dan tanggungjawab untuk membangkitkan serta mengambil kembali dunia kita daripada ekstremis,” katanya pada Forum Ekonomi Malaysia-Austria, di sini semalam.

Teks ucapan dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hadir sama Presiden Austria, Dr Heinz Fischer. Pada majlis itu, Muhyiddin menerima penyerahan surat tunjuk minat oleh 14 syarikat Austria, di samping menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Doppelmayr Seilbahnen GmbH dan Taiping Cable Car Sdn Bhd. Terdahulu, Muhyiddin mewakili Najib melakukan kunjungan hormat selama kira-kira 45 minit ke atas Fischer.

Dalam pada itu, Najib mempelawa Austria menjadi rakan kerjasama Malaysia untuk membangunkan modal insan, sekali gus membina hubungan jangka panjang yang kukuh serta saling memanfaatkan kedua-dua negara.

Selain itu, Malaysia dan Austria diharap terus meningkatkan inisiatif pro perniagaan dan menggalakkan komuniti perniagaan masing-masing untuk memanfaatkan potensi perdagangan antara kedua-dua negara.

Sambil menjelaskan perdagangan dua hala dengan Austria mencatat jumlah 298.8 juta euro tahun lalu, Najib berkata, Austria adalah rakan dagangan Malaysia ke-11 terbesar dalam EU, manakala di kalangan negara ASEAN, Malaysia rakan dagang Austria ketiga selepas Thailand dan Singapura.

“Ada 40 syarikat Austria sedang beroperasi di Malaysia. Dari segi pelaburan di Malaysia sehingga Julai tahun ini, 11 projek pembuatan Austria bernilai 42.5 juta euro sudah dilaksanakan, manakala 10 projek pembuatan tambahan bernilai 19.7 juta euro diluluskan,” katanya.

Sementara itu, Fischer mengakui gembira mengunjungi negara ini serta berharap hubungan Malaysia-Austria terus diperkukuh dengan menerokai lebih banyak potensi dan peluang kerjasama.

“Saya juga menyokong seruan gerakan kesederhanaan oleh Perdana Menteri serta komitmen negara ini terhadap usaha memulihara alam sekitar,” katanya.

Lagi Berita