Malaysia Sedia Laksanakan IRFS Tahun Depan – PM

KUALA LUMPUR 8 Nov. – Malaysia bersedia dan berada di landasan yang betul untuk melaksanakan sepenuhnya set tunggal piawaian perakaunan global dinamakan Standard Laporan Kewangan Antarabangsa (IFRS) menjelang 1 Januari 2012, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kata beliau, bermula tarikh itu, piawai perakaunan negara akan setanding dengan piawai di 100 buah negara di dunia.

Jelasnya, pelaksanaan set tunggal itu juga selari dengan matlamat kerajaan untuk menjadi negara membangun dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Menurutnya, IFRS yang dibangunkan oleh Lembaga Standard Perakaunan Antarabangsa akan menjadi piawai global untuk persiapan penyata kewangan syarikat-syarikat senaraian awam.

“Inilah hala tuju Malaysia yang dialu-alukan Malaysia sekarang.

“Secara faktanya, saya gembira menjelaskan, IFRS merupakan usaha peralihan di Malaysia yang mana lebih banyak diterajui akauntan-akauntan profesional negara adalah dalam landasan yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Kongres Akauntan-Akauntan Sedunia 2010 (WCOA 2010) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

WCOA 2010 yang berlangsung selama empat hari, bermula hari ini dan kali pertama diadakan di Malaysia merekodkan kehadiran seramai 6,018 akauntan-akauntan profesional dari seluruh dunia.

Hadir pada majlis ialah Presiden Akauntan-Akauntan Persekutuan Antarabangsa, Robert Bunting dan Presiden Institut Akauntan-Akauntan Malaysia, Abdul Rahim Abdul Hamid.

Najib menambah, pengenalan peruntukan untuk pemberi amaran (whistle blower) beberapa tahun lalu oleh kerajaan menggalakkan satu budaya baik terhadap tanggungjawab dan integriti awam.

Katanya, melalui pengenalan peruntukan itu, Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah menerima aduan terutamanya dari pengaudit-pengaudit luar syarikat-syarikat senaraian awam.

“Beberapa aduan tersebut menunjukkan tindakan yang diambil terhadap pesalah-pesalah yang kebiasaannya dilakukan di peringkat kanan pengurusan syarikat-syarikat,” ujarnya.

Pemberi amaran yang juga dipilih di kalangan akauntan-akauntan tempatan memainkan peranan penting bagi mengesan penipuan dan menyediakan maklumat kepada SC di bawah perlindungan Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan.

Lagi Berita