Masyarakat Cina Jangan Terpengaruh Fitnah Pembangkang

SEREMBAN,  8 Nov. – Menteri   Besar Datuk Seri Mohamad Hasanmeminta masyarakat Cina supaya tidak berpengaruh dengan fitnah kononnya bantuanmembasmi kemiskinan yang dihulurkan oleh kerajaan sebenarnya mengutamakan kaum Melayu.

Katanya, terdapat banyak perangkaan yang menunjukkan kaum lain mendapat kelebihan seperti di kawasan Dewan Undangan Negeri beliau iaitu di Rantau yang mana majoriti yang mendapat bantuan ialah bukan Melayu.

“Di tempat saya sendiri di Rantau, terdapat 1,115 penerima bantuan. Daripada jumlah itu 58 peratus disalurkan kepada kaum India, 22 peratus kepada Cina dan bakinya orang Melayu,” katanya semasa berucap pada majlis makan malam Menteri Besar bersama Guru-Guru Besar Sekolah Cina dan wakil Persatuan Ibubapa dan Guru di sini hari ini.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Mengenai soal pendidikan, Mohamad berkata kerajaan negeri tidak pernah memandang remeh masalah yang dihadapi oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di negeri itu.

Beliau menjelaskan tidak ada SJKC yang ditutup sewenang-wenangnya di negeri ini kecuali 11 buah sekolah Cina yang terpaksa dipindahkan kerana bilangan murid tidak sampai 10 orang di sekolah berkenaan.

Semasa sesi dialog bersama hadirin, Mohamad memberitahu ada beberapa sekolah Cina di negeri itu mendapatkan kenaikan bantuan kewangan.

“Sekolah Tinggi Chung Hua, misalnya, diberi RM100,000 setahun sebelum ini tetapi mulai tahun ini, peruntukan ditambah kepada RM300,000. Malah kerajaan telah memberikan tanah seluas 1.2 hektar bernilai jutaan tinggit kepada sekolah itu,” jelasnya.

Beliau berkata kerajaan negeri telah membela nasib masyarakat Cina di negeri itu malah telah membatalkan keputusan memindahkan Pasar Besar Seremban ke tempat lain atas rayuan peniaga Cina di situ.

“Saya cuma berharap kaum Cina memberikan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas ini dan jangan percaya kepada fitnah dan tohmahan yang boleh menyebabkan sentimen syak wasangka berleluasa,” katanya.

Lagi Berita