Penduduk Kampung Genting Kecewa Kerajaan DAP P. Pinang Cuba Ambil Tanah

GEORGE TOWN, 8 Nov – Penduduk Kampung Genting, Balik Pulau kecewa dengan tindakan Ketua Menteri Lim Guan Eng (DAP-Air Putih) yang cuba mengambil tanah di kampung mereka untuk dijadikan “hab pendidikan”.

Kekecewaan mereka disampaikan oleh Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya (BN-Teluk Bahang) semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2011 pada mesyuarat penggal ketiga Dewan Undangan Negeri ke-12 hari ini.

Hilmi turut mempersoalkan kewajaran kerajaan DAP Pulau Pinang yang terus berdegil dan mahu mengambil tanah Kampung Genting yang dianggap sebuah perkampungan kecil berbanding beberapa tempat lain yang lebih sesuai.

“Memang menjadi hasrat saya untuk melihat Balik Pulau sebagai `hab pendidikan’ dan kita sudah berusaha mewujudkannya tapi kerajaan BN (Barisan Nasional) tidak berbuat sesuka hati sebaliknya memilih tanah yang tidak ada orang untuk mendirikan apa jua pusat pendidikan,” katanya.

Lim turut disindir supaya tidak terus mendabik dada dalam usaha mewujudkan “hab pendidikan” di Balik Pulau kerana kerajaan BN terlebih dahulu sudah mempunyai perancangan berbuat demikian dan ia sudah terbukti dengan pembinaan antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM) di situ.

“Apa yang kita kesal adalah apabila Ketua Menteri tetap berkeras hendak mengambil tanah Kampung Genting yang sangat kecil itu, cubalah fikirkan, orang kampung ini susah jika tanah terus mahu diambil, janganlah begitu,” kata Hilmi.

Sehubungan itu, Hilmi mencadangkan supaya Guan Eng memikirkan semula perkara tersebut dengan mengambil kira pandangan rakyat sekali gus memilih tempat lain yang lebih luas dan sesuai antaranya di Kuala Sungai Pinang, Air Putih dan Pulau Betong.

Lagi Berita