PM Bakal Terima 118,598 Surat Pelajar

KUALA LUMPUR 8 Nov. – Sebanyak 118,598 pucuk surat yang ditulis oleh pelajar sekolah rendah dan menengah dari seluruh negara kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan diserahkan kepada beliau pada mesyuarat Kabinet akan datang.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, program itu telah berjaya mengumpulkan sebahagian pemikiran bernas di samping pelbagai sentimen yang dicurahkan oleh penulis kepada Perdana Menteri.

Menurutnya, ada tiga perkara yang timbul daripada bingkisan warkah tersebut, pertama pelajar menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik dan kedua meluahkan perasaan serta menyerlahkan idea dengan bernas.

“Pertandingan menulis surat kepada Perdana Menteri itu turut membantu mempopularkan bahasa kebangsaan di kalangan pelajar dan guru-guru di sekolah,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Setem dan Sampul Surat Hari Pertama Koleksi 1Malaysia di sini, hari ini.

Beliau kemudian menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang untuk kategori sekolah rendah dan sekolah menengah dalam Pertandingan Menulis Surat kepada Perdana Menteri.

Turut hadir Pengerusi Pos Malaysia Berhad, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat.

Rais menambah, orang ramai perlu meneruskan amalan menulis surat dan mengepos secara konvensional walaupun generasi muda kini lebih gemar menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel.

Beliau memberitahu, pertandingan itu akan diteruskan tahun depan dan pihaknya sedang mencari jalan bagaimana ekspresi idea dapat disusun dengan baik dalam bentuk artikel atau kata-kata bernas.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya surat-surat itu dibukukan untuk dibaca oleh masyarakat kerana sesetengah kandungan surat itu bukan sahaja menyumbang kepada 1Malaysia malah mencuit jiwa pembaca.

Pertandingan itu menyaksikan pelajar Sekolah Menengah Raja Tun Azlan Shah, Taiping, Perak, Muhammad Nur Adzam Mohamed Sapri, 15, muncul juara dan membolot hadiah wang tunai RM4,000, sebuah komputer riba, sijil penyertaan, kamus, baucer buku dan buku setem serta akaun pesanan tetap setem berjumlah RM50.

Tempat kedua dimenangi Nuril Hamzah, 17, dari SMK Bakar Arang, Sungai Petani, Kedah dengan memperoleh hadiah RM3,000 sementara tempat ketiga jatuh kepada Lim Harn Chienh, 17, dari SMK Dato Jaafar, Johor Baharu yang membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.

Nuril dan Harn Chienh turut membawa pulang pelbagai hadiah sampingan.

Bagi kategori sekolah rendah, juara jatuh kepada Nor Malissa Farhana Ibrahim, 12, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rahmat, Batu Pahat, Johor yang meraih wang tunai RM3,000, sebuah komputer riba, sijil penyertaan, kamus, baucer buku, buku setem dan akaun pesanan tetap setem berjumlah RM50.

Lagi Berita