Skim Rumah PertamaKu DiCadang Naik Sehingga RM350,000

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Kementerian Perumahan dan Kerajaan tempatan akan mencadangkan kepada kabinet supaya Skim Rumah Pertamaku yang menawarkan pinjaman 100 peratus bagi rumah berharga di bawah RM220,000 dinaikkan kepada rumah berharga sehingga RM350,000.

Menteri berkenaan Datuk Chor Chee Heung berkata cadangan ini bagi membolehkan lebih ramai golongan muda terutamanya yang menetap dan bekerja di bandar-bandar besar memiliki rumah.

“Saya akan cuba bincang dengan rakan-rakan di kabinet sama ada (rumah)RM220,000 ini munasabah atau tidak. Jika tidak boleh tak dinaikkan untuk bantu golongan muda nak beli rumah pertama,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2011 (Bajet 2011) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Terdahulu Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) semasa mencelah penggulungan itu mendakwa skim yang menawarkan pinjaman penuh untuk rumah di bawah harga RM220,000 itu seolah-olah mempermainkan hasrat golongan muda untuk membeli rumah.

“Kalau di Kuala Lumpur ini bandar besar-besar tiada rumah RM300,000.

Apartmen buruk-buruk pun, studio pun sudah RM350,000. Kita bagi RM220,000 tak payah deposit, tapi rumah tiada yang RM220,000. Itu masalahnya,” kata Bung Mokhtar.

Beliau juga mencadangkan supaya kerajaan mengawal harga rumah yang dibina supaya pemaju perumahan tidak menaikkan harga rumah sewenang-wenangnya.

Mengulas mengenai perkara itu, Chor berkata kerajaan tidak boleh sentiasa atau sewenang-wenangnya campur tangan terhadap pemaju rumah swasta untuk membina rumah dengan harga jualan yang ditetapkan kerajaan.

“Memang tidak munasabah jika kerajaan kata semua pemaju swasta jika nak membina rumah walaupun dalam Kuala Lumpur mestilah harganya tidak melebihhi RM200,000 hingga RM300,000,” katanya.

Bagaimanapun berbanding di Bangkok, Thailand dan Singapura, Chor berkata harga rumah di Kuala Lumpur adalah lebih berpatutan.

Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) ketika mencelah penggulungan itu pula berharap kerajaan tidak hanya menumpukan pembinaan rumah di bandar besar, sebaliknya perlu mengutamakan pembinaan rumah yang selesa untuk masyarakat di Sabah dan Sarawak.

“(Pilihan raya kecil) Batu Sapi telah memberi kejayaan kepada kita. Jadi jangan sia-siakan kepercayaan rakan (di Batu Sapi) kepada kita. Jika boleh  disegerakan rumah-rumah untuk orang Sabah dan Sarawak yang miskin,” katanya.

Lagi Berita